Pindaan Perlu Disegerakan - Dr Aziz Bari

KOTA BHARU, 19 Mac (Hrkh) - Pakar Undang-Undang Perlembagaan, Prof Madya Dr Abdul Aziz Bari berkata, pindaan Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan perlu disegerakan bagi menyelesaikan kemelut pentadbiran di negeri ini.

Beliau berpendapat, isu itu perlu diselesaikan segera kerana ia melibatkan soal prinsip, bukannya masalah untuk kepentingan parti politik tertentu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu kertas putih dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi memperincikan segala masalah yang berlaku.

"Ini penting bukan saja dalam konteks masalah yang berlaku sekarang tetapi juga untuk masa-masa yang akan datang.

"Jika kertas ini tidak disediakan mungkin masalah seperti ini akan berulang lagi, dengan kata lain kertas tersebut akan membantu generasi akan datang bagi melindungi mereka daripada masalah-masalah yang dihadapi sekarang," katanya ketika membentang kertas kerja pada program Wacana Ilmu anjuran Pusat Kajian Strategik (PKS), di sebuah hotel, di sini, Jumaat lalu.
Hadir sama, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, Setiausaha Politik, Annual Bakri Haron dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Dr Aziz yang juga Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagaimanapun berkata, pindaan perlembagaan sahaja tidak akan menyelesai masalah jika pihak yang terlibat dengan undang-undang tidak mematuhinya.

Begitu juga katanya, pernah terdapat di mana undang-undang diputarbelit dan ditafsir dengan cara yang aneh dan mengelirukan semata-mata untuk mencapai matlamat dan kepentingan tertentu.

"Ini selalunya dilaku dengan cara rasuah, penyalahgunaan kuasa dan konspirasi pihak media," katanya.

Menurut beliau, pindaan perlembagaan hanya berkesan sekiranya pihak yang terlibat memahami undang-undang dan mematuhinya.

Sehubungan itu, katanya semua pihak perlu bekerjasama iaitu mereka harus menjaga peranan dan tanggungjawab masing-masing.

"Apa yang lebih penting difahami ialah peranan institusi-institusi yang terlibat dalam perlembagaan, undang-undang memerlukan komitmen dan kerjasama pihak yang diberi kuasa melaksanakannya, inilah sebenarnya kunci kepada penyelesaian yang dicita-citakan.

"Ini boleh dilakukan dengan syarat semua pihak yang terlibat balik ke pangkal jalan, jika kesedaran ini tidak ada adalah sukar untuk menjamin bahawa kuasa dan undang-undang dilaksana dengan adil dan saksama," tambahnya
.
Beliau yang turut berdukacita dengan isu yang berlaku di Kelantan sekarang sambil berkata, ia merupakan perkara paling teruk dalam sejarah perundangan negara.

Katanya, apa yang berlaku di Kelantan berpunca daripada kegagalan pihak terbabit memahami kuasa diperuntukan.

Mengenai pihak yang mempertikai cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kelantan beliau berkata: "Pihak yang mempersoalkan perkara itu, termasuk membangkitkan soal persetujuan Raja dan sebagainya, sepatutnya ditanyakan ketika Kerajaan Pusat mengemukakan rang undang-undang pindaan di Parlimen."

"Penentangan yang dibuat terhadap cadangan pindaan perlembagaan di Kelantan boleh diibaratkan sebagai pertahanan diri ala 'kamikaze' iaitu satu bentuk serangan yang akhirnya boleh memakan diri sendiri, yang boleh menimbul kesulitan kepada Kerajaan Persekutuan sendiri.

"Masalah yang berlaku di Kelantan hari ini sebenarnya bukan soal Umno dan PAS, penyelesaian kepada masalah ini adalah soal prinsip yang harus disegerakan," jelasnya.

 


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan