Ladang kelapa sawit Yik 28,000 ekar

GUA MUSANG, 19 Mac (Hrkh) - Projek ladang kelapa sawit di tapak milik Yayasan Islam Kelantan (Yik) di beberapa kawasan di sini menjadi realiti apabila kerja-kerja penanaman anak-anak pokok dilakukan.

Pengarah Yik, Haji Abdul Aziz Yusof berkata, projek perladangan kelapa sawit diusahakan oleh beberapa syarikat swasta melalui perjanjian usahasama antara Yik dengan syarikat-syarikat terbabit.

Menurutnya, sehingga kini enam syarikat telah menandatangani perjanjian usahasama dengan Yik bagi memajukan projek perladangan kelapa sawit melibatkan kawasan keseluruhan seluas 28,000 ekar.

Katanya, antara syarikat-syarikat yang telah menandatangani perjanjian bagi mengusahakan projek perladangan itu termasuk Fauzi Lim Sdn Bhd di kawasan seluas 5,000 ekar di Relai, Gua Musang, Tinjau Sepang Sdn Bhd di kawasan seluas 4,500 ekar di Stong, Kuala Krai.

"Abolute Aslend Sdn Bhd di Nenggiri membabitkan kawasan seluas 8,000 ekar dan Pantas Ketara Sdn Bhd di Chiku, Gua Musang melibatkan kawasan seluas 7,000 ekar, Keruing Teknik Sdn Bhd di Relai membabitkan kawasan seluas 1,500 ekar dan Golden Mill Sdn Bhd di kawasan seluas 3,000 ekar di Limau Kasturi, Gua Musang.

"Langkah itu memberi peluang kepada pihak Yik yang sedang berusaha ke arah berdikari bagi menampung pendapatannya mengendalikan pembangunan sekolah-sekolah agama kelolaan yayasan itu," katanya sempena lawatan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pemimpin kerajaan negeri ke kawasan ladang kelapa sawit milik Yik di mukim Chiku dan Relai, di sini, kelmarin.

Pada lawatan itu Menteri Besar melawat dua tapak ladang kelapa sawit Yik yang diusahakan oleh syarikat Pantas Ketara Sdn Bhd di mukim Chiku dan syarikat Fauzi Lim Sdn Bhd di Relai.

Haji Abdul Aziz berkata, melalui projek itu, Yik selaku pemilik tanah, mewakilkan kepada beberapa syarikat bagi melaksanakan projek pembangunan tanah pertanian, termasuk tanaman kelapa sawit secara pajakan.

Katanya, selain pajakan tanah, Yik turut melaksanakan projek tanaman secara usaha sama iaitu berdasarkan peratus pemilikan ekuiti.

Beliau berkata antara syarikat yang menandatangani perjanjian projek tanaman kelapa sawit secara pajakan ialah Syarikat Perladangan Pantas Ketara Sdn Bhd melibatkan kawasan seluas kira-kira 7,000 ekar di Mukim Chiku, di sini.

Tambahnya, perjanjian antara kedua-dua pihak dibuat pada 24 Mei tahun lalu di Pejabat Menteri Besar, Kota Darulnaim. Dalam perjanjian itu Pantas Ketara Sdn Bhd diwakili Ketua Eksekutifnya, Abdul Hamid Harun, manakala Yik diwakili Haji Abdul Aziz sendiri selaku Pengarah Yik.Majlis menandatangani perjanjian itu disaksi Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pengerusi Yik.

"Menerusi perjanjian yang diadakan itu Yik bersetuju memberi pajakan selama 66 tahun kepada syarikat berkenaan untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit.

"Kedua pihak bersetuju menetapkan kadar sewa minimum RM100 bagi setiap 0.4 hektar tanah, bagaimanapun kadar itu akan berubah berdasarkan harga semasa kelapa sawit," katanya.

Pantas Ketara Sdn Bhd merupakan syarikat kelima yang menandatangani perjanjian dengan Yik bagi melaksana projek pembangunan tanah pertanian.

Tambah Haji Aziz, hasil yang diperolehi melalui projek itu akan diguna untuk perbelanjaan Yik bagi pembangunan sekolah agama di bawah kendaliannya yang meningkat setiap tahun.
"Projek ini dijangka dapat mengeluar hasil dalam tempoh empat tahun lagi," katanya.

 


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan