MB Dakwa RTM, Media Penghasut
 

KOTA BHARU, 20 Feb - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa RTM dan beberapa media massa pro kerajaan Barisan Nasional (BN) penghasut kerana melemparkan tuduhan tidak benar terhadap dirinya dan PAS.

Bagaimanapun katanya, sebagai ketua kerajaan, beliau sememangnya mengharapkan teguran ikhlas daripada sesiapa sahaja, asalkan membina dan bukannya menghasut.

Menurutnya, sebelum ini beliau sering meminta mana-mana pihak yang tidak berpuas hati menegur kepemimpinannya, terutama berhubung dakwaan penyelewengan ayat-ayat al-Quran.

"Rasulullah saw sering peringatkan sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan mengikut kehendak sendiri, mereka sebenarnya menyediakan kerusi dalam neraka di akhirat kelak," katanya.

Menyentuh isu pahala, beliau berkata, ia sengaja membangkitkan soal berkenaan bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri yang mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Sepatutnya saya tak kena kecam bila sentuh soal undi dapat pahala kerana negara ini adalah sebuah negara Islam, tapi... tahu-tahunya saya teruk dikecam," ujarnya.