HUSM Pusat Pembedahan Jantung Terulung di Pantai Timur

KOTA BHARU, 20 Mac: Hospital Universiti Sains Malaysia Cawangan Kelantan, (HUSM) maju setapak lagi dalam bidang perubatan apabila berjaya melakukan proses pembedahan jantung terbuka yang terulung di negeri ini termasuk kawasan Pantai Timur.

Sehingga kini sebanyak 10 kes pembedahan jantung terbuka berjaya dilakukan sejak ianya diperkenalkan pada bulan November tahun lalu di samping satu pembedahan jantung tertutup dan dua pembedahan paru-paru.

Pengarah HUSM Cawangan Kelantan, Dr Ramli Saad, berkata kejayaan ini adalah hasil dari perjanjian persefahaman antara HUSM dan Institut Jantung Negara (IJN), yang dimenterai pada 2 Oktober 2000. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbarnya selepas menyampaikan taklimat pencapaian prestasi HUSM kepada Ahli Lembaga Pengarahnya baru-baru ini.

"Sebelum memorandum ini ditandatangani, IJN telah memberikan komitmen dengan membantu dalam perkara-perkara seperti khidmat pengurusan dan kepakaran, teknikal, latihan paramedic secara berperingkat dan lain-lain lagi," ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan HUSM turut menghadapi masalah tertentu sekalipun pihaknya telah berjaya melakukan pembedahan tersebut. Jelasnya, pada peringkat awal keyakinan pesakit begitu ketara terhadap kemampuan HUSM dalam melaksanakan tanggungjawab ini. 

Bagaimanapun, tambahnya kerana kerjasama yang begitu padu antara IJN dan HUSM sendiri menyebabkan keraguan berkenaan semakin hilang, apa lagi mereka tidak perlu ke IJN Kuala Lumpur atau ke Hospital Pulau Pinang untuk tujuan ini.