Dasar Wanita Kelantan Berpaksikan Islam


KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman, berkata dasar wanita Kelantan yang digubal adalah berpaksi pada tuntutan Islam dan ia akan selaras dengan Terengganu.

Katanya, kedua negeri yang ditadbir pembangkang ini, hendaklah merencanakan dasar wanita yang sama, iaitu berpandukan ajaran Islam berpaksikan Al-Quran & Sunnah dan meletakkan kedudukan wanita di tempat yang dituntut oleh Islam.

Beliau berkata demikian bagi mewakili Menteri Besar, ketika merasmikan majlis penutup Seminar Draf Dasar Wanita Kelantan anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan.

Tegasnya, perlaksanaan ini dilakukan bukan kerana ia ditadbir oleh pembangkang, sebaliknya bersesuaian dengan dasar kerajaan negeri masing-masing yang berpandukan ajaran Islam. "Jadi, saya cadangkan supaya dasar wanita dikedua-dua buah negeri ini hendaklah selaras," ujarnya.

Dalam majlis itu juga beliau berharap golongan wanita dapat menjadi rakan kongsi lelaki dalam usaha untuk membina masyarakat harmoni serta menyumbang kepada pembangunan negara. Jelasnya, peranan kedua-duanya amat penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.


Universiti Wanita

Sementara itu, Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Nik Mohd Amar Nik Abdullah, turut mencadangkan supaya Universiti yang hanya menempatkan pelajar perempuan diwujudkan di negeri ini. Katanya, pengasingan pelajar lelaki dan wanita yang diasaskan di Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Perempuan dan Lelaki, diharap mampu melaksanakan universiti sedemikian.

Jelasnya lagi, mudahan dengan cara ini, akan lahir Siti Khadijah, Nusaibah, Aishah serta lain-lain muslimat Islam contoh terkemuka pada masa hadapan. Katanya, di Seoul misalnya terdapat 15 buah universiti khas hanya untuk menempatkan golongan wanita sahaja. "Jadi dengan asas yang telah ada di negeri ini, amat wajar sekiranya perkara ini turut diwujudkan di negeri ini," ujarnya.