Pelajar YIK Bebas Salahguna Dadah: Agensi Dadah Kebangsaan

KOTA BHARU, 20 Mac: Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) mengakui pelajar sekolah aliran agama khususnya Yayasan Islam Kelantan (Yik) bebas dari kegiatan penagihan dadah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Zakaria Yaacob berkata, dalam taklimat yang disampaikan pihak ADK kepada kakitangan Yik tahun lalu, didapati para pelajarnya bebas dari penyalahgunaan dadah.
 
"Dari 16,000 orang penagih yang terdapat di negeri ini, alhamdulillah tidak ada seorangpun dari pelajar kita," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2001 Maahad Muhammadi Perempuan, di Dewan D, sekolah tersebut Selasa lalu. Turut berucap pada majlis itu ialah, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Haji Abdul Aziz Yusof.

Dalam majlis ini, seramai 163 orang pelajar cemerlang Maahad Muhammadi Perempuan menerima anugerah masing-masing, setelah berjaya dalam bidang akademik bagi setiap peperiksaan tahun lalu. Turut diraikan dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik ialah ibubapa pelajar masing-masing.

Zakaria yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Banggol Judah, seterusnya berkata, pengakuan ini bukan harus dibanggakan, sebaliknya dorongan untuk terus meningkatkan imej baik sekolah agama Yik.

"Seharusnya kita bersyukur kerana pelajar kita bebas dari gejala dadah di samping meningkakan prestasi sekolah akan terus unggul dalam pelbagai bidang," ujarnya.

Dalam majlis itu juga, beliau turut berharap agar negeri ini menjadikan industri pendidikan Islam sebahagian produk utama negeri ini. Sambungnya, bersesuaian dengan sejarah silam di mana rakyat Kelantan gemar mencari ilmu, diharapkan industri pendidikan menjadi produk paling utama di negeri ini.