Sahut cabaran Aziz Samsuddin
GURU LETAK JAWATAN


KOTA BHARU,  - Seorang guru di sini menyahut cabaran Timbalan Menteri Pendidikan, Dato' Abdul Aziz Shamsuddin untuk melepaskan profesion perguruannya kerana enggan bersekongkong dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Haji Roshaimi Abdul Razak, 33 guru lepasan Maktab Perguruan Kota Bharu melepaskan jawatannya dengan rela hati kerana tidak mahu terus berkhidmat dengan agensi kerajaan yang mengokong kebangkitan Islam. Katanya, sepanjang perkhidmatan sebagai guru sejak akhir 1989 pelbagai tekanan dikenakan termasuk mendapat desakan dari beberapa bahagian Umno supaya menukarnya ke luar Kelantan dan kawasan pedalaman.

"Beberapa bahagian Umno secara jelas memainkan peranan dengan mendesak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menukarkan saya ke Sabah atau kawasan pedalaman. "Surat yang berkepalakan Umno bahagian itu saya lihat sendiri dituju kepada JPN mendesak saya ditukarkan kerana saya aktif dalam PAS," katanya di sini. Berikutan pelbagai tekanan secara psikologi dan deraan daripada JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pentadbir sekolah, Haji Roshaimi membuat keputusan nekad meletak jawatan tanpa sebarang notis awal dan sanggup membayar sebulan gaji kepada pihak berkenaan. Surat perletakan jawatannya dituju kepada JPN bertarikh 9 Julai 2001 dan berkuatkuasa 15 Julai lalu.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan mencabar guru yang enggan menandatangani kontrak untuk taat setia kepada kerajaan boleh berhenti. Perkara itu diulangi lagi melalui kenyataan akhbarnya 14 Ogos 2001 dengan menyebut Kementerian Pendidikan akan tetap meneruskan cadangan mewajibkan guru menandatangani kontrak supaya lebih bertanggungjawab, biarpun menerima bantahan dan kritikan daripada pelbagai pihak.

Haji Roshaimi berkata, beliau sanggup kehilangan pendapatan lebih RM1,000 sebulan kerana menyahut cabaran Timbalan Menteri terbabit, yang semakin mengawatkan lagi tekanan terhadap guru melalui pelbagai kaedah. Beliau memulakan karier sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Putera dekat sini pada akhir 1989, selepas menamatkan pengajian di maktab penguruan. Sebelum mengajar di sekolah berkenaan beliau diarah melalui sepucuk surat Kementerian Pendidikan supaya mengajar di Sekolah Kebangsaan Kerantong 4, Jengka, Pahang. Bagaimanapun beliau mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pendidikan dan selepas itu diminta mendaftar diri di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Putera, Kota Bharu.

Katanya, sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan beliau pernah mendapat desakan dari Umno Bahagian Kota Bharu supaya ditukar ke tempat lain termasuk di luar Kelantan. "Pernah saya berhadapan dengan kes di mana pihak sekolah mewarnakan pagar dengan warna hijau, kemudian ada pihak yang didalangi Umno mendakwa cat tersebut ditaja oleh saya. "Ekoran itu, pegawai dari PPD Kota Bharu datang menemui saya menyoal siasat perkara tersebut dan melemparkan dakwaan saya aktif dalam PAS," katanya kesal.

Selain itu menurutnya, guru-guru yang rapat dengannya turut dikenakan tekanan oleh pihak atasan dan mengarahkan mereka menjauhinya. Haji Roshaimi berkata, kemuncak tekanan yang dikenakan terhadapnya apabila beliau turut membantu ayahnya, Haji Abdul Razak Abbas (calon parlimen PAS di Gua Musang) berkempen pada pilihan raya umum lalu. Katanya, pihak JPN tidak membenarkannya membantu ayahnya sendiri yang bertanding pada pilihan raya tersebut. "Ekoran saya berjumpa dengan Pengarah JPN dan memberitahunya sebagai anak saya perlu membantu ayah saya bertanding di Gua Musang dan pihak sekolah tidak boleh menghalang hak saya.

"Saya juga menjelaskan kepada pegawai terbabit bahawa rezeki bukan hanya datang daripada kerajaan Barisan Nasional, tetapi ditentukan oleh Allah Taala yang mempunyai segala kekuasaan di bumi dan langit," katanya. Menurutnya, selepas pilihan raya berlangsung beliau diugut sekali lagi untuk ditukarkan ke Sabah, bersama guru yang aktif membantu pembangkang. Katanya, ketika itu, Umno Gua Musang turut memain peranan mendesak JPN menukarkannya ke tempat lain, termasuk luar Kelantan. "Apa yang mengecewakan, rakan-rakan yang rapat dengan saya turut ditekan dan mereka dipanggil ke JPN," dakwanya. Selepas itu beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1 pada Januari 2001, iaitu sebuah sekolah yang menjadi lubuk bagi Umno di peringkat bahagian Kubang Kerian. Katanya, di sekolah berkenaan beliau ditekan dengan pelbagai tekanan berbentuk psikologi.

Menurutnya, guru-guru yang rapat dengan Umno mendapat pelbagai kemudahan daripada pihak pentadbir sekolah, sedangkan mereka yang sokong PAS dikenakan tekanan. Selepas lebih sebulan mengajar di sekolah berkenaan, beliau menghantar surat kepada pihak pentadbir sekolah untuk bercuti tanpa gaji selama tiga bulan. Surat memohon bercuti tanpa gaji kali pertama dihantar pada Febuari 2001 dan pihak pentadbir sekolah tidak meluluskan. "Selepas itu saya menghantar surat bercuti tanpa gaji kali kedua pada April 2001, namun pihak pentadbir sekolah enggan menerima. "Beberapa bulan selepas itu, saya membuat keputusan untuk terus berhenti kerana tidak tahan lagi dengan tekanan dan desakan daripada pihak pentadbir sekolah, PPD dan JPN. "Saya tahu rezeki bukan sekadar bidang berkenaan sahaja, malah banyak lagi peluang lain boleh dilakukan untuk mencari sesuap rezeki," tambahnya.

Beliau juga membuat keputusan itu lebih awal, setelah Timbalan Menteri Pendidikan mencabar kalangan guru yang enggan menandatangani kontrak boleh berhenti. "Saya sanggup menyahut cabaran pemimpin terbabit memandang kami juga mempunyai maruah dan prinsip dalam perjuangan. "Kita tahu kerajaan yang tidak relevan bukan selama-lamanya berada di puncak kuasa kerana akhirnya mereka akan jatuh juga. Hanya masa dan ketikanya sahaja yang menentukannya," tambahnya.

Haji Roshaimi juga mencabar mana-mana kakitangan dan pegawai yang bertugas dengan kerajaan negeri Kelantan mengambil tindakan yang serupa dengannya sekiranya tidak tidak rela bekerja dengan kerajaan PAS. Beliau kini mencuba nasib di bidang perniagaan untuk meneruskan kehidupannya bagi menyara kehidupan keluarga. Adalah difahamkan tindakan Haji Roshaimi menimbulkan kejutan kepada JPN kerana surat memohon meletak jawatan disertakan sekeping cek sebulan gaji, memandangkan permohonan itu tidak dibuat melalui notis terlebih dahulu.