ISA: Ribuan rakyat tunai solat hajat


KOTA BHARU, - Ribuan rakyat Kelantan membanjiri Masjid Pulau Melaka dan kawasan sekitarnya Rabu lalu untuk menunaikan solat hajat dan membaca surah Yassin sebagai menyatakan penentangan terhadap akta tidak bertamadun ciptaan kerajaan Barisan Nasional, ISA.

Kawasan halaman masjid penuh sesak dengan kebanjiran orang ramai sejak menjelang awal malam bagi menunaikan solat berkenaan. Mereka yang datang lewat terpaksa menunaikan solat di atas jalan. Program berkenaan diadakan malam 15 Ogos, bermula dengan solat Maghrib dan mengikuti kuliah agama oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Selepas solat Isya' bacaan Yassin diadakan kemudian diikuti solat hajat yang diimami sendiri Menteri Besar.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan BN tidak sepatutnya menekan rakyat sesuka hati kerana mereka ada perasaan dan bukannya seperti batang kayu. "Kalau seperti batang kayu tak apa, mereka (kerajaan BN) boleh buat apa sahaja," katanya.

Menurutnya, sebelum ini rakyat tidak kisah pihak berkuasa menangkap rakyat yang disabitkan dengan kesalahan jenayah termasuk dadah. Malah, katanya, rakyat menyokong penuh tindakan kerajaan tersebut sebagai usaha membanteras kegiatan jenayah. "Namun kalau rakyat dikenakan tahanan di bawah ISA, mereka tidak boleh menerimanya.

Oleh itu, kita minta kepada Allah Taala menghapus ISA bersama dengan orang yang berkuasa ke atasnya," katanya diikuti laungan takbir orang ramai. Orang ramai pula terpaksa bersesak sesak untuk pulang ke rumah masing-masing sehingga menyukarkan pergerakan setelah majlis itu berakhir kira-kira jam 10 malam.

Sementara itu, di BACHOK, Menteri Besar berkata, suasana di Kelantan tetap kekal aman kerana majoriti rakyat hanya minat kepada perjuangan Islam. Katanya, di semua tempat kita dengar hanya PAS dan Barisan Alternatif sahaja yang mengadakan ceramah untuk menjelaskan sesuatu isu kepada rakyat. "Sedangkan Umno tidak kedengaran mengadakan ceramah seperti PAS memandangkan setiap ceramah yang mereka adakan tidak ramai rakyat berminat mengikutinya.

"Pada ceramah PAS rakyat dapat mendengar kupasan mengenai ayat-ayat al Quran, sejarah dalam Islam dan isu-isu semasa," katanya ketika merasmikan bangunan baru pejabat pentadbiran Madinatul Ilmi, Kandis dekat sini, 16 Ogos. Hadir sama di majlis itu, termasuk anggota Exco, Haji Omar Mohamed, Ustaz Mohamed Daud dan Ustaz Abdullah Ya'kub serta anggota parlimen Pasir Mas, Ustaz Ismail Nuh.

Madinatul Ilmi adalah sekolah menengah ugama yang menggabungkan sistem pendidikan agama dan tahfiz,  bermula dari kelas peralihan sehingga tingkatan empat. Pentadbiran sekolah berkenaan diletak di bawah Lajnah Tarbiyah dan Kepemimpinan PAS Kelantan. Ia mula ditubuh sejak 1984 dan sekarang mempunyai seramai 170 pelajar.