Anak MB Kelantan Fail Permohonan Habeas Corpus
 
KOTA BAHARU, 20 Ogos  -- Anak Menteri Besar Kelantan Nik Adli Nik Abdul Aziz hari ini memfailkan permohonan habeas corpus bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya beliau dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atas kes yang dihadapinya.

Notis usul habeas corpus Nik Adli, yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalan Negeri sejak 4 Ogos lepas, difailkan melalui peguam Zamani Ibrahim, Tarmizan And Co.di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pagi semalam (Ahad).

Zamani berkata permohonan itu dibuat mengikut Fasal 5(1) dan 5(2) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 365 Kanun Prosedur Jenayah.

Penasihat Undang-Undang PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan yang turut mengiringi Zamani, berkata permohonan habeas corpus itu menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai sebagai responden.

Beliau berkata permohonan itu disokong oleh dua afidavit, masing-masing daripada isteri Nik Adli, Sles Monira Sles Math dan Pengetua Sekolah Menengah Agama Darul Anwar Pulau Melaka, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Adli merupakan guru agama di sekolah berkenaan.

-- IHSAN BERNAMA