Kerajaan Kelantan Akan Saman RTM

KOTA BHARU, 21 Feb - Kerajaan negeri sudah mengadakan rundingan dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas RTM yang didakwa memfitnah kerajaan negeri dan Menteri Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Wanita, Belia dan Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kob berkata, tindakan itu terpaksa diambil memandangkan RTM memfitnah kerajaan negeri dengan tuduhan tidak berasas.

"Tindakan undang-undang adalah langkah terakhir, apabila RTM sengaja menayangkan video klip memburukkan kerajaan Kelantan secara berulang kali sebelum ini.

"Perbuatan disengajakan itu sebenarnya menjatuhkan imej badan penyiaran tersebut yang sanggup membiarkan diri diperkudakan pihak lain," katanya di sini.

Menjelang pilihan raya kecil Indera Kayangan Januari lalu, RTM memainkan isu dengan mendakwa kerajaan Kelantan melarang wanita cantik bekerja dan cuba menyamakan dengan bekas kerajaan Taliban di Afghanistan.
Video klip itu berulang tayang dimainkan bagi menimbulkan kebencian orang ramai terutamanya bukan Islam terhadap PAS.

Semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18 Januari lalu, isu yang sama dibangkitkan apabila terdapat cadangan daripada penyokong kerajaan supaya RTM disaman.

Ustaz Abdullah berkata, selain menayangkan video klip berkenaan, RTM juga memainkan kembali isu berdarah di  Memali bagi menggambarkan PAS sebagai militan.

"Biarpun banyak bantahan dibuat, namun RTM masih dipertahankan menterinya untuk meneruskan siaran klip berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, pelbagai pihak di negeri ini menyokong penuh tindakan kerajaan negeri menyaman RTM yang dianggap menjadi alat propaganda kepada Umno.

Seorang kakitangan kerajaan, Hamdan Ahmad, 54 berkata, media rasmi kerajaan BN itu sepatutnya disaman sejak dari dahulu lagi kerana menjadi agen memfitnah terhadap pembangkang.

Katanya, RTM bukan lagi menjadi saluran informasi untuk rakyat mendapat maklumat, sebaliknya menjadi agen mempertahankan Umno dan kerajaan BN.

"Saya percaya propaganda itu juga tidak mampu mempengaruhi minda rakyat, kerana sikap melampau yang begitu menjijik dilakukan RTM tanpa ada harga diri," katanya.

Beliau juga yakin, pasukan keselamatan pun tidak senang dengan tindak tanduk RTM kebelakangan ini, yang disifatkan boleh mengundang keadaan tidak aman dalam negara.