Suruhanjaya khas siasat kerugian MAS

KOTA BHARU, 21 Feb -Suruhanjaya Khas yang bebas serta profesional perlu ditubuhkan segera bagi menangani masalah kerugian teruk MAS berkaitan urusan kargonya.

Anggota Parlimen Kawasan Kubang Kerian, Haji Husam Musa berkata, Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Dr Ling Liong Sik seharusnya bertanggungjawab terhadap kerugian MAS, di samping kes penyelewengan pengurusannya.

"Ini kerana setiap keputusan serta pengurusan MAS adalah di bawah seliaan kementerian berkenaan yang diterajui oleh Ling," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Akhbar tempatan bertarikh 19 Febuari melaporkan siasatan polis dilakukan ke atas beberapa individu dalam pengurusan lama, berkaitan urusniaga kargo, di mana ketika itu MAS dipengerusi oleh Tan Sri Tajuddin Ramli.

Menurut Haji Husam, kementerian terbabit seharusnya memantau urusan di bawahnya termasuk MAS, di samping mempunyai wakil di dalam Lembaga Pengarah MAS.

"Bila perkara sebegini diwujudkan, masalah serta kepincangan dapat dikesan sejak awal lagi," ujarnya.
Tambahnya, kelalaian pihak kementerian berkenaan telah menyumbangkan kepada kerugian berjuta ringgit.

Menurutnya juga, sebelum ini beliau sering membangkitkan isu berkenaan di Parlimen, termasuk usul khas mengenai tambang domestik MAS dalam persidangan Parlimen pada 25 Julai lalu.

Dalam usul tersebut, beliau buat kali kedua telah membangkitkan isu spesifik pegangan saham peribadi Tan Sri Tajuddin sebanyak 60 peratus dalam syarikat kargo yang ditubuhkan di Jerman.

Beliau juga turut memberikan gambaran menyeluruh pada ketika itu, sebab utama kenapa MAS telah mengalami kerugian disebabkan kegagalan pengurusannya.

"Selain mengalu-alukan siasat polis, saya ingin mengulangi apa yang telah saya sebutkan di Parlimen, Menteri Pengangkutan sendiri mesti mengambil tanggungjawab di atas kerugian MAS dan kemungkinan penyelewengan pengurusan MAS yang lalu," ujarnya.