Usah percaya laporan akhbar - ahli DAP

MACHANG, 20 Ogos  - Masyarakat Cina di negeri ini meminta rakyat tidak mempercayai sepenuhnya laporan akhbar berkaitan hubungan PAS - DAP dikatakan rentak disebabkan isu negara Islam. Kata mereka, isu itu cuba diperbesarkan oleh media arus perdana sebagai satu strategi setelah melihat kekalutan yang berlaku dalam pakatan Barisan Nasional (BN) sekarang semakin goyang.

Lim Hoo Kim, 45 seorang perniaga yang juga ahli DAP Machang berkata, beliau tidak yakin terhadap laporan akhbar berhubung isu kerentakan hubungan di antara PAS dan DAP sebagaimana dilaporkan akhbar sekarang. Katanya, hubungan PAS dan DAP semakin rapat dan akrab bagi menumbangkan kerajaan BN dan tidak mungkin akan rentak dengan hanya disebabkan propaganda media. "Saya menyeru ahli dan penyokong DAP tidak terpengaruh dengan berita yang disiarkan oleh akhbar arus perdana sekarang kerana akhbar tertentu cuba memainkan isu tersebut untuk menyelamatkan kedudukan Umno yang semakin gawat," katanya.

Menurutnya, konsep negara Islam yang dikehendaki PAS sebenarnya sudah difahami sebahagian besar ahli dan penyokong DAP dan tidak ada sebab isu tersebut terus dimainkan. Hui Lee Yau, 30 dari Kemahang berkata, pergolakan dalam pakatan Barisan Alternatif di antara PAS dan DAP sebenarnya adalah mainan media. Katanya, media sanggup mengulangi isu tersebut biarpun perkara sama diulang tayang bagi mengalih pemikiran rakyat terhadap masalah dalaman yang berlaku dalam BN sekarang.