Remaja perlu ketahanan diri - TMB

KOTA BHARU, 20 Ogos - Timbalan Menteri Besar,  Dato' Abdul Halim Abdul Rahman berkata, remaja perlu mempunyai disiplin diri tinggi bagi membolehkan mereka menghadapi situasi semasa yang semakin gawat sekarang.

Katanya, remaja di alaf baru sekarang terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah dan cabaran kerana wujud banyak unsur-unsur negetif dalam masyarakat. "Ancaman penagihan dadah, black metal dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan begitu hebat menyerang golongan belia di negara ini sekarang," katanya ketika merasmikan pertunjukan Seni Silat Cekak Hanafi, di Dataran MPKB, 18 Ogos. Teks ucapan beliau dibaca oleh anggota Exco, Haji Anuar Tan Abdullah.

Timbalan Menteri Besar juga berkata, kurang perhatian ibu bapa  dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi anak-anak turut menjadi punca gejala sosial semakin parah. Oleh itu, beliau mencadangkan golongan belia dna remaja melibatkan diri dengan persatuan-persatuan yang boleh menanamkan nilai-nilai disiplin yang tinggi seperti persatuan silat.

Katanya, melalui kegiatan tersebut golongan remaja dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang boleh mengawal mereka dari melakukan gejala yang boleh merosakkan diri sendiri. "Golongan ini perlu dibentuk  melalui aktiviti berkumpulan  kerana remaja sekarang mempunyai sikap ingin mencuba perkara-perkara yang dianggap baru," katanya.