Kurang maklumat punca tentang 'negara Islam'

KOTA BHARU, 21 Ogos  - Mursyidul Am PAS menganggap pihak yang menentang hasrat mewujudkan negara Islam adalah disebabkan golongan tersebut tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai konsep negara tersebut.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkara seumpama itu pernah berlaku terhadap pihak yang pernah menentang hukum hudud sebelum ini, di mana mereka tidak mengetahui mengenai hudud dan menentangnya sekadar mengikut sentimen Barat. Katanya, penentangan seperti itu akan berakhir selepas ini apabila mereka faham secara jelas mengenai konsep negara Islam.

"Pengalaman orang bukan Islam menentang hudud boleh dijadikan panduan, di mana semasa cadangan kerajaan Kelantan mahu membentang enakmen mengenai hudud di pandang negetif wakil-wakil agama bukan Islam sehingga mereka datang berjumpa saya. "Mereka menyatakan penentangan terhadap hudud, sedangkan ketika itu kerajaan negeri belum lagi membentangnya di Dewan Undangan Negeri. "Namun apabila saya menanyakan mereka, apa yang mereka faham mengenai hudud, mereka tidak boleh menjawab.

Kita menjelaskan perkara sebenar mengenai hudud sehingga akhirnya mereka senyap," katanya pada program Pemimpin Bersama Masyarakat di Padang Perdana di sini malam tadi. Hadir sama di program berkenaan, Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman, Speaker Dun Kelantan, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan anggota Exco, Takiyuddin Hassan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan percaya pemimpin DAP sekarang adalah orang yang cerdik. Isnin lalu akhbar melaporkan Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock dilaporkan berkata, jika terpaksa DAP juga boleh berdiri sendiri bagi menghadapi pilihan raya seperti dilakukan sebelum wujudnya pakatan pembangkang. "Hasrat PAS untuk menubuh negara Islam tidak termaktub dalam perjanjian ketika menubuhkan pakatan pembangkang bersama KeADILan, PRM dan DAP," katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut mengakui orang bukan Islam tidak faham mengenai konsep negara Islam kerana kurang penjelasan daripada ulamak-ulamak berkaitan isu tersebut. "Kelemahan ulamak-ulamak kita untuk jelaskan apa itu konsep negara Islam dan hudud. "Macam mana hendak jawab di depan Tuhan kelak berkaitan perkara itu," katanya.

Beliau juga bimbang penentangan terhadap konsep negara Islam disebabkan terpengaruh dengan gerakan gereja pada suatu ketika dahulu di Eropah yang menentang pembaharuan. Isu negara Islam kini menjadi tajuk utama sesetengah media kerana mereka mahu melihat hubungan PAS - DAP bertambah renggang. Agenda seperti itu sudah dirancang media sedemikian rupa oleh pihak Umno selepas melihat pakatan pembangkang dalam Barisan Alternatif (BA) semakin kukuh dan akrab. DAP juga pada kongres kebangsaan yang ke-13 Ahad lalu memutuskan untuk terus kekal dalam BA bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.