ISA: BN sekat hujah pembangkang

KOTA BHARU, 21 Ogos  - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penjelasan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) mengenai ISA dianggap kenyataan sebelah pihak sahaja.

"Mereka buat kenyatan sebelah pihak sahaja.........kalau orang yang bercakap macam itu (seorang diri) apa orang akan labelkan... tentunya seperti orang yang ditahan di Tanjung Rambutan," katanya pada program pemimpin bersama masyarakat anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di Padang Perdana, malam tadi.

Sebelum ini, pemimpin kerajaan BN membuat pelbagai dakwaan terhadap tahanan ISA termasuk dikaitkan dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), membunuh bekas wakil rakyat Lunas dan rompakan bank. Tuduhan itu dianggap kenyataan sebelah pihak kerana mereka yang ditahan tidak dibicarakan di mahkamah secara terbuka untuk membuktikan kebenaran setiap pertuduhan dilemparkan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penganiayaan ISA yang berlaku tidak boleh disenyapkan dan perlu diberitahu kepada orang ramai.

Pada 4 Ogos lalu, 10 pemuda termasuk anak Tuan Guru Nik Abdul Aziz ditahan di bawah ISA di atas dakwaan terbabit dengan KMM, untuk menjatuhkan kerajaan menggunakan kekerasan. Ekoran itu, 19 Ogos lalu, Nik Adli, 34 membuat permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Beliau diwakili peguam, Zamani Ibrahim dengan disokong dua afidavit dikemukakan termasuk isterinya, Sles Monira Sles Math dan Pengetua Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Anwar Pulau Melaka. Kes tersebut akan disebut di mahkamah tinggi pada 9 September ini.

Habeas corpus tersebut juga memohon Nik Adli dibawa ke mahkamah berkenaan semasa perbicaraan diadakan. Penahanan Nik Adli juga turut mendapat simpati masyarakat antarabangsa apabila dua warganegara Perancis datang bertemu  Menteri Besar minggu lalu untuk bertanya khabar mengenai anaknya.

"Mereka datang dari jauh untuk bertanya khabar mengenai perkara itu. Sedangkan saya tidak kenal mereka sebelum ini," kata Menteri Besar. Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, mereka yang menjadi mangsa kepada ISA adalah kalangan pemimpin pembangkang termasuk daripada DAP, PRM dan KeADILan. Katanya, biarpun ditahan di bawah ISA mereka tetap tidak berganjak daripada perjuangan.

Oleh itu, beliau berkata, sepatutnya kerajaan BN bersedia untuk berhujah dengan pembangkang termasuk berkaitan dengan ISA. "Islam benarkan umatnya berhujah dan bukannya dikenakan tahanan tanpa bicara seperti di bawah ISA.

"Sekiranya kita masih enggan berhujah di akhirat kelak pun kita akan disoal di depan hakim maha besar iaitu Allah Taala, di mana ketika itu kita terpaksa juga berhujah," katanya. Bagaimanapun malang sekarang kata beliau, kerajaan BN cuba menyekat untuk berhujah dengan mengenakan tahanan di bawah ISA terhadap musuh politiknya.