Umno, MCA, MIC dijemput rai kemerdekaan

KOTA BHARU, 21 Ogos  - Kerajaan negeri menjemput wakil-wakil parti politik termasuk Umno, MCA, MIC, PAS, KeADILan, PRM dan DAP bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
 
Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata, wakil-wakil parti terbabit dijemput untuk berada di pentas utama, sempena perbarisan hari ulang kemerdekaan kali ke-44. Katanya, mereka akan menyaksikan perarakan kontijen-kontijen pasukan berpakaian seragam pada sambutan tersebut di perkarangan Stadium Sultan Mohamad Ke IV.

"Kita tidak kira soal politik dalam sambutan kemerdekaan ini kerana ia membabitkan masalah perpaduan rakyat," katanya di sini.

Sebelum ini, pelancaran bulan kemerdekaan di adakan di Padang Merdeka, Kota Bharu pada 15 Ogos lalu, yang dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Semasa sambutan tersebut, Menteri Besar menyerah jalur gemilang kepada wakil-wakil parti termasuk daripada Umno, MCA, MIC dan parti gabungan Barisan Alternatif.

Hari ini (21 Ogos) kumpulan daripada Simfoni Gendang bertolak ke Kuala Lumpur dengan kereta api ekspress di Stesen Wakaf Baru, Tumpat bagi merayakan sambutan kemerdekaan di peringkat Pusat. Kumpulan berkenaan pernah mencatat rekod Malaysia apabila 1,000 pengendang mengadakan persembahan mereka di Stadium Sultan Mohamad Ke IV.

Pada 26 Ogos akan diadakan program jelajah merdeka yang akan dirasmikan Timbalan Menteri Besar di perkarangan rumah Ketua Jajahan Jeli, kira-kira jam 12 tengahari. Manakala pada malam 30 Ogos pula akan diadakan sambutan di ambang merdeka di Stadium Sultan Mohamad Ke IV yang bermula jam 8.30 malam. Menteri Besar dijangka hadir pada program berkenaan.

Keesokan harinya akan diadakan perbarisan sebagai kemuncak sambutan tersebut. Dato' Haji Abdul Halim juga berkata, persembahan menarik akan diadakan pada sambutan di ambang kemerdekaan termasuk nasyid dan pertunjukan silat. "Sekiranya ada peruntukan daripada kementerian, pihak penganjur akan mengadakan pertunjukan bunga api bagi merancakkan lagi sambutan berkenaan," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Kelantan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiyuddin Hassan berkata, Kota Bharu akan menjadi tumpuan pelbagai pihak pada musim cuti persekolahan September ini. Katanya, pelbagai program menarik diatur termasuk sambutan Jubli Emas PAS peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) bermula 7 hingga 9 September. Sambutan Jubli Emas peringat negeri Kelantan pula akan diadakan pada 2 hingga 6 September di tempat yang sama.

"Selain itu pada musim cuti persekolahan ini juga akan diadakan persidangan penganut agama Buddha peringkat Asia di sebuah wat di Tumpat," katanya. Menurutnya, berdasarkan kepada perkembangan itu, adalah jelas Kelantan menjadi destinasi utama kunjungan pelancong setiap kali musim cuti persekolahan dan hari kelepasan am.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Pelancongan, Kebudayaan dan NGO, Haji Anuar Tan Abdullah berkata, adalah dianggarkan lebih 100,000 pelancong akan bertandang ke Kelantan sempena musim cuti persekolahan ini. Katanya, sehingga kini bilik penginapan di hotel, rumah tumpangan dan asrama sudah habis ditempah dan tidak dapat ditampung dengan kebanjiran begitu ramai pelancong.