Wan Abdul Aziz

Kenyataan Dr Mahathir Ganggu Siasatan Polis

KOTA BHARU, 22 Mac - Pemuda Barisan Alternatif kesal tuduhan tidak berasas Perdana Menteri yang menuduh kenyataan Ketua Pemuda KeADILan, Ezzam Mohd Noor sebagai punca pergaduhan di Kampung Medan, baru-baru ini.

Sehubungan itu Pemuda BA Kelantan, diketuai Ketua Pemuda KeADILan negeri, Zamakhsari Ibrahim membuat laporan polis berhubung kenyataan Dr Mahathir sebagaimana tersiar dalam sebuah akhbar Cina 16 Mac lepas. Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira jam 2.30 petang, baru-baru ini.

Mengikut laporan polis yang dibuat, Pemuda BA melahirkan kekesalan kerana kenyataan dibuat Dr Mahathir tanpa bukti itu merupakan fitnah kepada Ezzam.

"Dalam berita yang dilaporkan pada muka surat tiga sebuah akhbar Cina bertarikh 16 Mac, Dr Mahathir menuduh pergaduhan yang berlaku di Kampung Medan baru-baru ini berkaitan kenyataan Ezzam. "Dr Mahathir juga menuduh Ezam telah memaklumkan kepada kawan luar negerinya yang dia (Ezzam) akan melakukan rusuhan di dalam negara sehingga kerajaan digugurkan," demikian menurut laporan itu.

Sementara itu, Zamakhsari berkata, tuduhan Perdana Menteri tidak berasas sama sekali kerana beliau gagal mengemukakan sebarang bukti terhadap kenyataannya. Selain itu katanya, Dr Mahathir juga membuat fitnah apabila menuduh kejadian pergaduhan yang berlaku di Kampung Medan mempunyai tujuan politik.

"Dr Mahathir turut menyebut terdapat pihak yang menyebar khabar angin dengan mengatakan bilangan kematian sebanyak beberapa ratus, ini merupakan kenyataan jenayah yang amat serius kerana polis masih menjalankan siasatan terhadap insiden itu.

"Kenyataan beliau telah mengganggu penyiasatan yang sedang dilakukan pihak polis, oleh itu kami meminta pihak polis menyiasat segera berhubung kenyataan beliau itu," katanya.

Pemuda KeADILan Pusat juga turut membuat laporan polis berhubung kenyataan Perdana Menteri itu. Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Dang Wangi oleh Naib Ketua Pemuda parti itu, Low Chee Chong.


Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan