Mazlan Jusoh

Malaysia Berminat Tiru Sekular Turki

KOTA BHARU, 22 Mac - Malaysia dianggap berminat untuk menjadikan negara sekular Turki sebagai model, sekiranya usaha menggugurkan perkataan Islam pada pertubuhan dan parti politik benar-benar dilakukan.

Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Kelantan, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood berkata, Turki sudah lama mengharamkan penggunaan nama Islam pada mana-mana pertubuhan dan parti politik.
"Malah negara sekular itu mengharamkan perempuan Islam bertudung, lelaki yang menyimpan janggut dan menghapus sekolah agama. "Dan sekarang, Malaysia juga kelihatan sedang berusaha ke arah itu apabila dilihat perkembangan yang berlaku sekarang," katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dato' Dr Ismail Ibrahim dilaporkan berkata, majlis itu pada mesyuaratnya 15 Febuari lalu membincangkan penggunaan nama Islam pada pertubuhan yang akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu. Menurutnya, isu penggunaan nama Islam pada pertubuhan dan parti politik akan diputuskan Majlis Raja-Raja.

Ustaz Wan Jamil berharap Majlis Raja-Raja Melayu tidak terpengaruh dengan rentak parti politik yang mendesak menghapuskan perkataan Islam pada nama pertubuhan dan parti. "Apa yang dihasrat pihak tertentu untuk menghapuskan perkataan Islam, seolah-olah sudah bersekongkol dengan musuh yang sejak dahulu lagi sentiasa memusuhi gerakan Islam.

"Kita juga hairan terhadap peranan Dr Ismail dan Majlis Fatwa sehingga mahu merujuk penggunaan perkataan Islam kepada Majlis Raja-Raja," katanya. Menurutnya, semua orang tahu anggota-anggota Majlis Fatwa adalah dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mereka bekerja di bawah telunjuknya.

Kata beliau, sepatutnya perkara seperti itu dirujuk kepada ulamak-ulamak yang benar-benar berprinsip dan bukannya ulamak yang berkepentingan tertentu. Oleh itu, beliau berharap Majlis Raja-Raja berpegang kepada prinsip yang tegas kerana desakan mahu menggugurkan perkataan Islam sejak dahulu lagi diperjuangkan Umno.

Menurutnya, sebelum ini Umno melalui kerajaan mengharamkan penggunaan lambang bulan dan bintang pada simbol PAS. Kerajaan juga mengharamkan perkataan Allah dan Muhammad pada bendera PAS. Kerajaan Barisan Nasional (BN) turut menangkap ramai ulamak suatu ketika dahulu dan dikenakan tahanan di bawah ISA.

"Apa yang dilakukan kerajaan pada akhir 1960-an itu sudah menampakkan Umno begitu takut berdepan dengan pengaruh PAS yang semakin meningkat," katanya. Ustaz Wan Jamil berkata, negara Barat yang tebal dengan fahaman sekular tidak pernah kedengaran mahu menghapuskan penggunaan perkataan Kristian pada nama-nama parti atau pertubuhan. Sebaliknya, kata beliau Malaysia yang dicanangkan sebagai negara umat Islam pula mahu mengharamkan penggunaan nama Islam.

Beliau berkata, sepatutnya pihak yang dipengaruhi Umno mahu menggugurkan perkataan Islam malu dengan tindakan mereka kerana orang bukan Islam tidak pernah melakukan perkara sedemikian.

Yang Dipertua PAS Jeli, Ustaz Abdullah Ya'kob berkata, Umno terpaksa menanggung risiko kebangkitan rakyat sekiranya benar-benar mahu perkataan Islam digugurkan. Sehubungan itu, beliau menasihatkan Umno membuat pertimbangan lebih wajar sebelum keadaan menjadi semakin tidak terkawal.

Menurutnya, PAS sudah menggunakan perkataan Islam sejak 50 tahun lalu, dan mengapa baru sekarang hendak diharamkan. Kata beliau, perkataan Islam yang digunakan itu dirujuk daripada Al Quran serta Hadis dan ia tidak boleh dipermainkan.

Menurutnya, semua lapisan masyarakat Islam di negara ini bercakap mengenai Islam dan tidak kena sama sekali Umno mahu mendesak Raja-Raja pula mengharamkan perkataan itu bagi pihaknya.
Sebelum ini, perhimpunan agung Umno sering kali membangkitkan penggunaan perkataan Islam pada nama PAS, yang dianggap menjadi punca pengaruh Umno semakin merosot.


Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan