Disiplin Tinggi Bentuk Syaksiah Pelajar

BACHOK, 24 Mac (Hrkh) - Pelajar-pelajar sekolah agama yang dikawal dengan disiplin dan tidak terdedah dengan percampuran bersama remaja kurang bermoral mampu melahirkan seorang manusia yang bersyaksiah tinggi.

Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Haji Subky Latif berkata, suasana seperti itu perlu dipertahan bagi mengelakkan pelajar sekolah agama terdedah dengan unsur-unsur kurang sihat.
"Suasana seperti ini saya lihat wujud di Maahad Tahfiz Madinatul Ilmi di Kandis yang terkawal daripada unsur-unsur tidak sihat dari luar. "Pelajar di sini amat bertuah kerana mereka tidak mempunyai ruang untuk bercampur dengan remaja-remaja di luar sekolah," katanya pada ucapan ringkas sempena kunjung ke maahad tersebut, semalam.

Hadir sama pada kunjungan itu, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood.

Haji Subky berkata, pelajar-pelajar yang kurang terdedah dengan percampuran bersama remaja nakal di luar sekolah tentunya tidak banyak dosa. Katanya, ini secara tidak langsung akan memudahkan pelajar menghafal al Quran dan setiap matapelajaran yang pelajari di kelas. Menurut beliau, sekiranya sikap ini terus dipertahankan pelajar terbabit mampu menjadi seorang ulamak yang berwibawa dan bakal menggantikan pemimpin yang ada sekarang.

Beliau juga mengambil contoh Imam Ghazali semasa kecilnya merantau ke Iraq selama 17 tahun tanpa mengambil kisah apa yang berlaku terhadap keluarga di negeri asalnya.
"Selama 17 tahun merantau mencari ilmu, Imam Ghazali tidak membaca surat-surat yang dihantar ibu bapa dan keluarganya.

"Beliau menumpu sepenuh perhatian terhadap pengajian dan setelah tamat pengajian barulah dia membaca surat-surat yang diterima sebelum ini. "Di antara surat-surat tersebut ada yang memberitahu ibu bapanya sudah lama meninggal dunia," katanya.

Menurut Haji Subky apa yang dilakukan oleh Imam Ghazali ketika menuntut ilmu kemungkinan tidak termampu untuk dilakukan pelajar-pelajar sekarang. Namun tambahnya, apa yang penting ialah kesungguhan dan ketekunan mencari ilmu sehingga berjaya menjadi seorang ulamak termasyhur dengan menulis kitab-kitab agama sehingga menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia.

Maahad Tahfiz Madinatul Ilmi kini mempunyai hampir 200 pelajar. Ia dibina di kawasan seluas 10 ekar yang lengkap dengan kemudahan bilik darjah, asrama, kantin, pejabat, masjid dan padang permainan.
Kedudukannya yang agak jauh dari jalan besar membolehkan pelajar belajar dalam suasana harmonis tanpa sebarang gangguan.

Setiap pelajar dikenakan bayaran yuran sebanyak RM150 sebulan dan hanya dibenarkan balik ke rumah pada cuti hujung minggu sekali sebulan. Permintaan ibu bapa untuk menghantar anak-anak belajar di maahad itu cukup menggalakkan sekali, sehingga pihak sekolah terpaksa menolak banyak permohonan disebabkan kekurangan tempat. Begitu juga permintaan dari kalangan pelajar perempuan begitu banyak dan terpaksa ditolak sementara waktu.



Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan