3.5 juta Pelancong Dijangka Lawat Kelantan

TUMPAT, 23 Mac - Pelancong domestik (tempatan) merupakan kumpulan utama yang menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Pelancongan dan NGO, Haji Anuar Tan Abdullah.

Menurutnya, sepanjang dua tahun lalu dan dua bulan pertama tahun ini kunjungan pelancong domestik mencatat 85 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong ke negeri ini.
"Data pelancongan 1999, 2000 dan awal tahun ini menunjukkan pelancong domestik masih kekal sebagai segmen pasaran yang utama dengan mencatat 85 peratus daripada keseluruhan jumlah pelancong ke negeri ini.

"Daripada 15 peratus pelancong antarabangsa pula, 65 peratus adalah pelancong dari Thailand," katanya ketika berucap melancarkan Karnival Jualan Mega Malaysia 2001 peringkat negeri Kelantan, di kawasan bebas cukai, Pengkalan Kubur, di sini, baru-baru ini.

Haji Anuar berkata, kebanyakan pengunjung ke negeri ini bertujuan untuk membeli belah memandangkan nilai harga yang murah berbanding negeri lain. Jelas beliau, Karnival Jualan Mega Malaysia adalah antara program yang berjaya menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.
Keadaan itu tambahnya, terbukti di mana tahun lalu kunjungan pelancong ke Kelantan mencatat pertambahan 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Statistik kedatangan pelancong ke Kelantan menunjukkan satu trend yang menggalakkan, dijangkakan kunjungan pelancong ke negeri ini terus meningkat kepada 3.5 juta orang pada tahun ini," katanya.

Tambah beliau, antara tempat yang menjadi tumpuan pelancon ke negeri ini ialah kawasan membeli belah terutama kawasan bebas cukai di Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang. Bagi menarik pelancong beliau mengingatkan para peniaga supaya merangka strategi jualan yang berkesan.

"Saya menyeru semua pihak supaya bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha menarik dan mempromosi pelancong luar untuk bertandang ke Kelantan, suasana yang ada perlu dikekal disamping dipertingkatkan lagi," katanya
.



Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan