Dr Mahathir Resah Dengan web 'Mahazalim'  
 

KOTA BHARU,  - Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad semakin bimbang kemunculan laman-laman web di internet yang menentang kepemimpinannya secara terang-terangan. "Mereka akan putar belit setiap ucapan saya melalui laman-laman web seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Mahadajal.

"Saya ini sebenarnya Mahathir dan berniat baik bagi kepentingan rakyat di negara ini," katanya ketika merasmikan program celik IT 2001 di Sekolah Menengah Kubang Kerian 2, di sini, pagi 20 Julai lalu.
Program itu dikendalikan KUB Malaysia Berhad dan anak-anak syarikatnya serta kerjasama Jabatan Pendidikan Kelantan. Hadir sama Pengerusi Eksekutif KUB, Dato' Hassan Harun, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustafa Mohamed, Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Dato' Mahadzir Mohd Khir dan Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Dato' Annuar Musa. Sebahagian besar mereka yang hadir di majlis itu adalah di kalangan guru-guru dari beberapa jajahan di negeri ini, pelajar-pelajar sekolah, ibu bapa dan kakitangan Kemas.

Dr Mahathir berkata, setiap ucapannya dipandang lain dan dimuat ke dalam internet melalui laman-laman web berkenaan. "Mereka akan lempar balik setiap hasrat baik saya melalui laman-laman web yang dikendalikan. "Mereka  adalah orang yang tidak berguna dan orang Kedah panggil 'haprak'," katanya. Dr Mahathir berulang kali mengeluarkan kenyataan itu seolah-olah terlupa terhadap apa yang sudah disebut pada peringkat awalnya.

Beliau berkata, orang Cina tidak pernah menyalahgunakan internet seperti orang Melayu.
"Adakah orang Cina ada laman web maha-maha seperti dikendalikan orang Melayu. Saya percaya tidak ada kerana mereka pandai menggunakan internet untuk kemudahan lain," katanya.
Oleh itu, beliau menasihatkan orang Melayu tidak menyalahgunakan internet dengan menghentam balik ucapannya.

Perdana Menteri juga berkata, pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi sekarang tidak boleh lagi ditegur dan mereka sudah mulai sombong. "Mereka sudah tidak dengar apa yang kita nasihatkan. Mereka tidak hendak belajar lagi. Ini secara tidak langsung menghabiskan duit kerajaan yang dibelanjakan bagi membantu mereka. "Mereka seperti sudah membazir duit kerajaan kerana tidak mahu lagi belajar," tambahnya.

Menurut Presiden Umno, pelajar sekarang sudah pandai mencampur aduk perkara-perkara lain dan bukan untuk belajar sepenuhnya. Menurutnya, pelajar boleh buat kerja lain apabila sudah tamat belajar nanti kerana ketika itu mereka tidak lagi menggunakan bantuan kerajaan. Katanya, kalau sudah ada pendapatan sendiri mereka boleh lakukan apa sahaja.

Pada ucapannya yang sama beliau menaruh kebimbangan terhadap gejala keruntuhan akhlak yang semakin menular di kalangan remaja sekarang. Katanya, pelbagai masalah melanda golongan itu sehingga ada remaja yang berumur 17 tahun sanggup membunuh kanak-kanak.

"Begitu juga dengan budaya 'Black Mental' sekarang cukup mencemaskan kerana mereka memuja syaitan sehingga sanggup memijak-mijak al Quran dan kitab Injil. "Lagu-lagu kumpulan mereka mengajak membuat perkara yang jahat. "Majoriti pelajar yang terlibat dengan gejala tersebut adalah datang dari sekolah agama," tuduh Dr Mahathir secara terbuka. Menurutnya, semakin ramai pelajar-pelajar Melayu yang terbabit dengan gejala yang meruntukan akhlak tersebut.

Bagaimanapun menurut ibu bapa yang hadir, keruntuhan akhlak yang begitu ketara dan dahsyat sekarang berlaku semasa negara di bawah kepemimpinan Dr Mahathir. Orang ramai yang hadir berduyung-duyung keluar biarpun majlis yang dihadiri Perdana Menteri belum lagi berakhir.

Pada majlis itu, Dr Mahathir melepaskan 20 ekor burung merpati sebagai tanda genap 20 tahun beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Pengerusi majlis berkata, Dr Mahathir dan Siti Hasmah menjadi ibu dan bapa kepada jutaan rakyat Malaysia.

Pada sebelah petang Perdana Menteri menghadiri majlis jamuan rakyat di Pengkalan Kubur. Manakala pada sebelah malam pula menghadiri Malam Semarak Patriotik.

Manakala pemerhati politik berpendapat, kehadiran Perdana Menteri ke Kubang Kerian ada hubung kait dengan tokoh yang rapat dengannya bakal ditonjolkan pada pilihan raya umum akan datang di kawasan parlimen Kubang Kerian.

Kawasan berkenaan kini diwakili Haji Husam Musa dari PAS apabila memenangi pilihan raya umum lalu.
Hassan Harun adalah di antara muka lama yang difahamkan mendapat kepercayaan Dr Mahathir untuk mencorak semula Umno Kelantan yang ternyata gagal di bawah Ku Li, Annuar Musa dan Mustafa Mohamed.

Di luar pagar tempat berlangsung program berkenaan terdapat kain sepanduk yang berbunyi 'Rakyat Kelantan sudah sedar PAS hanya tahu memerintah melalui ceramah dan naik cukai. Cukup kami mahu pemerintahan Umno' - Umno Kubang Kerian