Tindakan Terhadap Pihak Seleweng
Demokrasi
KOTA BHARU, 24 Mac - Kerajaan
diminta turut mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang menyeleweng
amalan demokrasi, bukan hanya serius mengenakan dakwaan kepada
penyalahgunaan agama Islam sahaja.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan
rasa hairan terhadap pihak tertentu yang bersungguh-sungguh untuk
mengharamkan perkataan Islam, kononnya menyelewengkan agama, namun
mendiamkan diri terhadap pihak yang mencabul prinsip demokrasi.
"Saya kadang-kadang merasa pelik juga ditimbul sangat penyelewengan
mengenai Islam, sedangkan pihak yang memperjuang demokrasi sendiri tidak
pernahkah menyeleweng ?
"Kalau sibuk sangat membincang mengenai penyelewengan Islam,
kenalah sibuk juga bincang mengenai penyelewengan demokrasi, kami (dituduh)
tak pandai jaga Islam... yang dia (Umno) pandai ke jaga demokrasi?"
katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail
Petra, di sini, petang semalam, selepas menghadiri Mesyuarat Majlis
Raja-Raja ke-188 di Istana Negara.
Tuan Guru Menteri Besar memberi contoh kerajaan Pusat pernah
menghentikan pemberian subsidi baja kepada petani di Kelantan sebaik PAS
diberi mandat pada 1990. Apa yang dikesalkan jelas beliau ialah syarat
bagi mendapatkan baja yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat, ialah
mereka terpaksa mengisi borang Umno terlebih dahulu.
"Kami terpaksa mengeluar RM3.5 juta setiap tahun untuk mengeluarkan
baja untuk diagih kepada petani akibat tekanan yang dikena kerajaan
Pusat.
"Bukti kedua yang lebih jelas lagi ialah di Terengganu, elok-elok
saja PAS pegang Terengganu royalti minyak ditarik balik.. ini
demokrasikah?" soalnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, berdasar sejarah perjuangan PAS,
tidak timbul masalah parti menyeleweng agama Islam untuk kepentingan
politiknya. Katanya, sebagai jemaah Islam, parti itu sentiasa bergerak
berlandaskan prinsip sebagaimana terkandung dalam ajaran Islam.
"Bila kita letak Islam sebagai dasar, maka seboleh-bolehnya kita
berusaha supaya tidak menyeleweng," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam
berhubung keputusan Majlis Raja-Raja kelmarin yang tidak menghalang
penggunaan perkataan Islam pada mana-mana pertubuhan dan parti politik.
Akhbar semalam memetik kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa
Majlis Raja-Raja tiada halangan kepada penggunaan perkataan Islam oleh
mana-mana pertubuhan malahan digalakkan.
Mengenai tindakan undang-undang yang akan dikenakan terhadap pihak yang
menyalahgunakan perkataan Islam untuk mengeliru dan selewengkan akidah
masyarakat beliau berkata:
"Kalau fatwa mengenai penyelewengan Islam ada, maka perlu juga ada
fatwa mengenai penyelewengan demokrasi.
"Memanglah tak ada fatwa mengenai penyelewengan demokrasi kecuali
rakyat, rakyat yang memberi fatwa dalam masa pilihan raya, insya-Allah,"
tambahnya.
Harakah Kelantan
|