Guru fardhu ain dipaksa isi borang Puteri Umno?

KOTA BHARU, 25 Mac - Puteri Umno yang dianggap sayap terbaru Umno, ternyata terpaksa berdepan dengan kemelut untuk mendapat keahliannya.

Sebelum ini, Puteri Umno dikatakan memasuki institusi pengajian tinggi tempatan untuk mendapat ahli di kalangan pelajar-pelajar yang baru mendaftar.

Usaha itu menjalar hampir ke seluruh IPT selepas mendapat lesen sulit daripada pihak pentadbir universiti.
Pelbagai kaedah yang berunsur tekanan dibuat termasuk pelajar yang enggan bekerjasama dihalang mendapat pelbagai kemudahan pembelajaran. Usaha itu didedah ramai pelajar, biarpun cuba dinafikan berkali-kali Ketua Penajanya, Azalina Othman.

Namun, taktik itu ternyata kurang berkesan sehingga memaksa Puteri Umno mengubah strategi dengan memasuki kampung-kampung untuk 'melelong' borang keahliannya melalui kaedah lain pula.

Strategi terbaru ialah mewajibkan semua guru-guru fardhu ain wanita yang ingin berkhidmat mengisi borang keahlian Puteri Umno.

Seorang bapa, yang mahu dikenali sebagai Shahir berkata, anaknya yang baru menamatkan pengajian di universiti Timur Tengah dipaksa mengisi borang keahlian Puteri Umno, ketika memohon jawatan guru fardhu ain di sekolah rendah di sini.

Katanya, borang itu perlu diisi dengan disertakan bayaran yuran keahlian Puteri Umno dan mesti ditandatangani ketua bahagian Umno sebelum boleh diserahkan kepada pihak terbabit.

"Pernah saya berjumpa dengan Ketua Bahagian Umno untuk mendapatkan tandatangannya, namun dia enggan menandatangani kerana anak saya belum mendaftar lagi menjadi ahli Puteri Umno.

"Syarat pendaftaran Puteri Umno kini boleh dikatakan diwajibkan kepada mereka yang ingin melamar jawatan guru fardhu ain yang elaunnya tidak seberapa," katanya di sini.

Beliau difahamkan berdasar maklumat yang terdapat pada senarai borang puteri Umno, nama bakal ahli terbabit akan diserahkan kepada cawangan Umno untuk disenaraikan sebagai ahli baru cawangan terbabit.

Kata beliau, cawangan yang dipilih adalah di antara yang mempunyai potensi untuk dimenangi Umno dan bukannya kawasan kubu kuat PAS.

Satu sumber di Pasir Mas memberitahu, setiap guru fardhu ain yang mendaftar ahli Puteri Umno akan diberi telefon bimbit dan dipaksa menghadiri setiap aktiviti Umno dan Puteri.

Dianggarkan terdapat kira-kira 4,000 guru fardhu ain yang berkhidmat di seluruh sekolah rendah di Kelantan sekarang.
Sahir berkata, pada April ini, anaknya memberitahu, setiap ahli baru Puteri Umno akan diminta menghadiri satu kursus.
"Apa yang berlaku itu saya beranggapan Puteri Umno dan Umno sendiri sudah begitu terdesak sehingga menggunakan kaedah paksaan untuk menarik sokongan rakyat.

"Taktik seperti itu tidak mungkin akan menarik simpati orang ramai, malah semakin menimbulkan kebencian yang bertambah kepada Umno," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa lebih berhati-hati apabila anak mereka berminat untuk memohon menjadi guru fardhu ain.

Katanya, sekiranya tidak diberi perhatian serius dibimbangi anak-anak mereka terpengaruh dengan kebendaan sehingga sanggup mengadai prinsip perjuangan.

"Saya juga melihat apa yang dilakukan ini bagi memperlihatkan Umno semakin kuat di atas kertas, sedangkan hakikatnya parti itu semakin ditolak rakyat," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Puteri Umno kini ternyata dilanda kemelut, apabila ramai artis yang ditarik menyertai jawatankuasa badan itu, kini sudah menarik diri.

Terbaru, seorang pelakon dan pengarah filem, Erma Fatima dilaporkan meletak jawatan dan sebelum itu, seorang lagi artis, Era Fazira juga meninggalkan Puteri Umno.