Merdeka: Kelantan hantar peserta teramai

TUMPAT,  - Kelantan menghantar paling ramai peserta bagi menyertai perarakan sempena menyambut hari kebangsaan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos ini. Seramai 506 peserta dari negeri ini akan menyertai perarakan itu dan mempersembahkan pertunjukan kebudayaan.

Pengarah Kebudayaan Negeri, Haji Ismail Yussof berkata, kontijen tersebut dibahagi kepada 59 kumpulan. Katanya, bilangan ramai peserta yang dihantar bukan sahaja untuk mengadakan persembahan kebudayaan, malah mengeratkan silaturahim di antara kaum.

"Peserta terbabit adalah sebahagian dari peserta Simfoni Gendang 2001 yang pernah dicatat pada Malaysia Book Of Record kerana mempersembahkan pertunjukan dengan bilangan lebih 1,000 pengendang," katanya ketika menghantar peserta terbabit di Stesen Kereta Api Wakaf Baru, petang 22 Ogos.

Kumpulan peserta terbabit menaiki keretapi ekspress dari Wakaf Bharu ke Stesen Sentral di Kuala Lumpur. Kumpulan simfoni berkenaan mengadakan persembahan di Stadium Sultan Mohamad Ke IV, baru-baru ini.

Ismail berkata, kumpulan itu juga akan mempersembahkan permainan gendang berirama selain dikir barat dan dikir laba. "Kita berharap dengan penyertaan begitu ramai kontijen dari Kelantan dapat menyemarakkan lagi semangat untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan tahun ini," katanya.