ISA, sekat ceramah
POPULARITI PAK LAH MEROSOT

KOTA BHARU, 23 Ogos (Hrkh) -  Populariti Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk terus mendaki puncak kekuasaan semakin terjejas teruk, apabila dilihat beberapa tindakan kerajaan Barisan Barisan yang melanggari batasan demokrasi dan hak asasi manusia.

Sekatan ceramah secara terbuka melalui pasukan polis dan tahanan di bawah ISA dilihat kemuncak tindakan tidak popular Pak Lah yang mengetuai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bendahari PAS Pusat, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata, sekatan terhadap ceramah Barisan Alternatif menggambarkan Pak Lah semakin terpinggir untuk melayakkannya menduduki kerusi Perdana Menteri.

"Penguatkuasa peraturan baru itu dan tangkapan secara berleluasa seseorang di bawah ISA menyebabkan ada pihak dalam Umno melihat Pak Lah sudah tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri," katanya di sini.

Begitu juga kata beliau dengan populariti Menteri Pertahanan, Dato' Seri Najib Tun Razak turut menurun selepas beberapa kes membabitkan keselamatan kem tentera bolos.
Menurutnya, kejadian kecurian senjata di Kem Tentera di Gerik dan kumpulan al Maunah sebelum ini mempelihatkan ketidakupayaan Najib.

Katanya, kedua pemimpin terbabit kemungkinan akan menghadapi laluan sukar untuk terus mendaki puncak kuasa dalam Umno dan kabinet.

Seorang pemerhati politik di sini, Musa Amin berkata, kepemimpinan Pak Lah sudah sampai ke penghujungnya, apabila tindakannya melalui pasukan polis dikecam banyak pihak.
Katanya, pemimpin seperti itu tidak sesuai untuk dinobat sebagai Perdana Menteri pada masa akan datang.
"Sebelum ini tindakan seumpama itu tidak kedengaran, namun apabila Pak Lah diamanahkan sebagai Menteri Dalam Negeri, keadaan terus berubah.
"Apa yang dilakukannya mungkin untuk memperlihatkan kononnya keperibadiannya masih kuat, sedangkan hakikatnya ramai orang nampak ketokohannya sebagai pemimpin sudah merosot teruk dan tidak bermaya," katanya.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri itu terpaksa berlakon di sebalik pasukan polis untuk membangkitkan keupayaan yang tidak seberapa dibanding pemimpin lain dalam Umno.
"Keadaan yang berlaku sekarang menyebabkan banyak pihak termasuk dalam Umno sendiri kurang senang dengan tindak tanduknya.

"Mereka beranggapan Umno semakin teruk apabila pemimpin seperti itu diberi tempat lebih tinggi dalam parti atau kabinet," ujarnya.
Oleh itu, beliau menjangka pemimpin yang lebih berkeliber dan berfikiran rasional sedang bergerak untuk mengenepikan Pak Lah bagi mengelakkan Umno semakin teruk dan ditolak rakyat.