Anggap Suhakam berfikiran Barat
RAMAI ANGGAP PM TERLAJAK

KOTA BHARU, 25 Ogos - Pelbagai pihak di negeri ini menyifatkan tindakan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menganggap laporan Suhakam berfikiran Barat adalah suatu yang keterlaluan dan terlajak.

Presiden Persatuan Pekerja Islam Kelantan, Wan Nik Wan Yusof berkata, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang pemimpin yang berfikiran rasional. Katanya, sepatutnya Perdana Menteri memuji tindakan Suhakam yang membuat laporan secara adil dan telus berhubung insiden di Lebuh Raya Kesas pada 5 November tahun lalu.

"Suhakam bertindak secara profesional dan tidak berpihak kepada mana-mana apabila dilihat kepada cara mereka bekerja. "Kita difahamkan Suhakam menginterview semua pihak yang terbabit dengan insiden tersebut dan bukan mendengar pandangan sebelah pihak sahaja," katanya di sini.

Dr Mahathir sekembali dari lawatan ke Yemen 22 Ogos dilaporkan berkata, Suhakam terlalu terpengaruh dengan cara pemikiran Barat menyebabkan laporan yang disediakan lebih menjurus kepada nilai-nilai Barat.

Menurutnya, Suhakam sepatutnya mengutamakan kepentingan negara dan hak asasi rakyat tempatan dengan mengambil pendekatan yang bersesuai dengan keadaan negara ini.
Wan Nik yang juga anggota parlimen Bachok berkata, Dr Mahathir perlu menghormati kebebasan Suhakam bekerja yang mengutamakan profesional dan bukan mempunyai agenda politik murahan.

Baru-baru ini, Suhakam mengemukakan laporan berhubung tindakan polis menggunakan kekerasan menyuraikan perhimpunan aman di Lebuh Raya Kesas. Laporan tersebut membuktikan pihak polis bertindak kasar dan di luar batas-batas kemanusiaan.

Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Menengah Bantuan Yayasan Islam Kelantan, Ustaz Zulkefli Zakaria berkata, kewibawaan Suhakam tidak sepatutnya dipertikaikan kerana badan itu diwujud sendiri oleh kerajaan. "Lagipun mereka yang menganggotai Suhakam dilantik kerajaan dan mempunyai kelayakan profesional. "Misalnya Tan Sri Musa Hitam mempunyai pengalaman luas dalam isu hak-hak asasi manusia kerana pernah berkhidmat di Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai wakil tetap Malaysia," katanya.

Menurutnya, sekiranya Dr Mahathir mahu Suhakam mengikut segala telunjuknya mereka boleh membubar keanggotaan badan tersebut dan melantik di kalangan ketua-ketua bahagian Umno sebagai ahli baru. Katanya, hanya mereka yang ada kepentingan dan kaitan dengan Umno sahaja boleh mengampu pemimpin parti itu pada bila-bila masa sahaja.

Beliau berkata, apabila sudah wujud Suhakam yang diUmnokan, kerajaan boleh melihat sejauh mana kejayaannya. "Mungkin pada masa itu tidak ada lagi rakyat yang datang mengadu dan Dr Mahathir akan menyelar pula rakyat kerana menolak badan tersebut," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada perkembangan yang berlaku sekarang, tidak ada sesuatu pun yang dilakukan Suhakam atau badan bukan kerajaan lain dihargai pemimpin Umno kecuali pengampu yang tidak bermaruah.

Penyelia Dun Galas, Che Hashim Sulaima berkata, sebuah badan bebas seperti Suhakam sepatutnya dihargai kewujudannya kerana mampu mengimbangi kuasa kerajaan yang menggunakannya kurang bertamadun. Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) kemungkinan akan lebih dihormati rakyat sekiranya menerima pandangan ikhlas Suhakam. "Namun malang kesempatan seperti itu tidak diambil peluang, malah mereka sebaliknya mengecam Suhakam secara melulu dan kurang rasional," tambahnya.