Loji baru bekal air kepada 180,000 pengguna

KOTA BHARU, 26 Ogos  - Seramai 180,000 penduduk di sekitar jajahan ini dan Bachok akan menikmati bekalan air bersih secara lebih sempurna apabila loji air baru di Kampung Chicha siap sepenuhnya pada 2003.

Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd, Haji Mohd Fauzi Abdullah berkata, loji tersebut mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran air yang menghadapi masalah bekalan air sebelum ini. Katanya, loji baru itu akan dapat memberi manfaat kepada 18,000 rumah di Kemumin, 14,000 di Kubang Kerian dan 4,000 di Bachok.

"Adalah dianggarkan 180,000 penduduk akan menikmati kemudahan tersebut apabila loji yang dibina sekarang siap sepenuhnya pada Januari 2003," katanya pada taklimat sempena lawatan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Infrastruktur, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ustaz Ahmad Yakob ke tapak loji tersebut, Khamis 23 Ogos lalu.

Kerja-kerja pembinaan loji berkenaan dimulakan sejak Januari lalu yang membabitkan kos kontrak bernilai RM78 juta. Loji baru itu merangkumi kawasan seluas empat ekar akan dilengkapi dengan segala kemudahan terkini bagi membekalkan bekalan air bersih ke seluruh penduduk di kawasan Kelantan utara.

Selain itu, loji tersebut juga mempunyai bangunan pejabat setinggi dua tingkat. Haji Mohd Fauzi berkata, sumber air yang diproses di loji berkenaan didapati daripada telaga tuib di tujuh tempat termasuk Pasir Hor, Pasir Tumbuh, Kubang Kerian dan Kenali. "Air yang disedut daripada telaga-telaga tiub berkenaan akan dihantar ke loji di Chicha untuk diproses sebelum dihantar semula kepada pengguna.

"Kaedah menggunakan sumber air bawah tanah lebih sesuai digunakan di kawasan yang terletak berhampiran dengan pantai," tambahnya. Beliau berkata, penggunaan air dari sumber sungai akan menyebabkan kos lebih tinggi di kawasan berdekatan pantai kerana terdedah dengan campuran air masin.

AKSB sehingga kini mempunyai sebanyak 135,000 akaun pengguna di seluruh Kelantan. Sementara itu, Ustaz Ahmad berkata, pembinaan loji baru itu dijangka siap mengikut jadual. Katanya, projek tersebut mendapat pembiayaan kerajaan Pusat dan dibayar secara tuntutan kembali oleh kontraktor yang dilantik. "Oleh itu setiap dua minggu sekali laporan perkembangan projek pembinaannya perlu dihantar kepada pihak terbabit di Kuala Lumpur," katanya.