Konflik berterusan izin kuasa asing di Afghanistan


PENGKALAN CHEPA, 25 Nov - Malapetaka besar dijangka terus melanda Afghanistan sekiranya tentera Pakatan Utara yang menguasai Kabul sekarang menyerah kepada pihak asing bagi menentukan corak pemeritahan di negara berkenaan.

Ketua Misi Kemanusian PAS bagi membantu pelarian Afghanistan, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, padah akan terus menimpa bumi negara tersebut sekiranya urusan negara diserah kepada bangsa asing.

"Sekiranya negara umat Islam ditentukan bangsa asing sudah tentu malapetaka besar akan melanda bumi Afghanistan," katanya pada ceramah mengenai Afghanistan di Pusat Tarbiayah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, malam 17 November lalu. Hadir sama, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Haji Zulkefli Mamat, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Takiyuddin Hassan dan anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Husam Musa.

Kumpulan Pakatan Utara yang dibantu Amerika dan tentera bersekutu kini menguasai Kabul dan beberapa bandar lain, di mana sebelum ini dikuasai Taliban.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Afghanistan, Lakhdar Brahimi sudah menggariskan kerajaan sementara di negara yang dilanda peperangan tersebut.

Dr Mohd Hatta berkata, kerajaan baru yang mahu dibentuk di Afghanistan sekarang adalah pro Amerika dan sekutu Barat.
Beliau yang juga anggota Jawatankuasa PAS Pusat memberitahu Taliban yang menguasai sebahagian bumi Afghanistan sebelum ini, melakukan pengorbanan besar apabila menyerah beberapa bandar kepada tentera Perikatan Utara tanpa pertumpahan darah.

"Taliban melakukan pengorbanan besar dengan berundur tanpa melibatkan pertumbuhan darah sesama umat Islam," katanya sambil menjelaskan pendirian PAS tidak menyokong mana-mana pihak dalam konflik yang berlaku di Afghanistan sekarang.

Katanya, pemimpin utama Taliban Mullah Omar menyebut peperangan sebenar di Afghanistan belum lagi bermula.
"Saya diberitahu rakan-rakan di Pakitan, tentera Taliban hanya sedang menunggu kehadiran tentera darat dari Amerika dan sekutunya bagi memulakan peperangan sebenar," kata.

Sebelum ini, Dr Mohd Hatta bersama tiga pemimpin PAS berada lebih seminggu di Pakistan. Rombongan pertama misi kemanusiaan PAS itu dianggotai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Hanifa Maidin dan Dr Zulkefli Ahmad.

Semasa berada di sempadan negara tersebut dengan Afghanistan, beliau melihat sendiri keperitan hidup yang dialami pelarian terutamanya golongan wanita, orang tua dan kanak-kanak.

Kata Dr Hatta, pelarian tersebut berjalan kaki sehingga berminggu-minggu untuk sampai ke sempadan Pakistan.
Bagaimanapun beliau berkata, golongan pemuda tidak kelihatan menjadi pelarian kerana mereka rela mempertahankan tanah air daripada pencerobohan tentera kuffar Amerika.

Misi kemanusian PAS kedua yang turut diketuai Dr Mohd Hatta berlepas ke Pakistan minggu ini. Anggota rombongan yang lebih besar itu turut terdiri wakil Harakah yang akan melaporkan secara terus perkembangan semasa di sempadan negara tersebut.

Anggota parlimen Kubang Kerian, Haji Husam berkata, tindakan tanpa perikemanusiaan Amerika dan sekutunya, Britain ke atas Afghanistan menandakan sebagai satu permulaan penindasan Barat terhadap umat Islam.
Katanya, usaha yang dilakukan Amerika merupakan agenda pembersihan aktivis Islam di seluruh dunia.
Menurut beliau, keadaan yang serupa juga tidak ketinggalan berlaku di Malaysia, di mana aktivis Islam turut dikongkong.
Katanya, pelbagai isu cuba dibangkitkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno bagi tujuan itu.
"Isu tersebut bermula dengan perpaduan Melayu, kemudian usaha menggugurkan nama Islam dan menuduh PAS mendiskriminasi golongan wanita.
"Mereka juga pernah menyamakan PAS dengan Taliban," katanya.