Pemimpin Kelantan  pikul tugas berdakwah


KUALA KRAI, 25 Nov  - Kesungguhan kerajaan Kelantan menggerakkan misi dakwah terbukti, apabila pemimpinnya sendiri memikul tanggungjawab itu dan bukan sekadar guru-guru agama di kampung.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri tidak menyerah tugas berdakwah kepada guru-guru agama semata-mata, sebaliknya pemimpin negeri turut sama melaksanakan tugas itu.

"Pemimpin kerajaan negeri melaksanakan tugas berdakwah kepada rakyat tanpa menyerah sepenuhnya peranan itu kepada guru-guru agama sahaja," katanya pada program tadarus al Quran dan Ihya Ramadhan peringkat jajahan Kuala Krai di Masjid Tengku Ahmad Faris Petra malam, 19 November lalu.
Hadir sama, anggota Exco, Haji Omar Mohamad, wakil-wakil rakyat, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Haji Abdul Rahim Hassan dan Ketua Jajahan Kuala Krai, Haji Mustafa Mohamad.

Menteri Besar berkata, tugas untuk berdakwah dilakukan bagi menyambung kerja-kerja yang dilakukan oleh Nabi Muhamad saw.
"Misi utama dakwah untuk membentuk manusia secara lahir dan batin," tambahnya.

Haji Mustafa berkata, kesungguhan kerajaan negeri meningkatkan syiar Islam terbukti apabila usaha tersebut dilakukan pemimpin peringkat tertinggi. Katanya, Menteri Besar sanggup datang dari jauh untuk mengimarahkan lagi majlis tadarus sebagai membuktikan kesungguhan kerajaan negeri menggerakkan misi dakwah.

Sementara itu, Jaheaik memilih petikan surah al Buruj bermula ayat 1 hingga 22 yang mengisahkan mengenai pemerintah yang zalim terhadap orang beriman pada Ramadhan tahun ini.

Surah tersebut dinamakan al Buruj kerana permulaan surah Allah bersumpah dengan nama langit, tempat peredaran bintang-bintang, hari khiamat yang dijanjikan pembalasan dan saksi menyaksikan khususnya ke atas kaum yang melakukan kezaliman.
Mereka menggali parit dan menyalakan api di dalamnya kemudian membakar orang yang beriman di dalamnya.

Surah tersebut menjelaskan, mereka yang zalim dan sesat, tidak bertaubat akan diseksa azab neraka yang membakar, sebaliknya orang beriman dan beramal soleh akan ditempatkan dalam syurga dipenuhi berbagai nikmat.
Surah tersebut diakhiri dengan menyatakan tentang kebenaran al Quran dan terpelihara sebaik-baiknya pada Luh Mahfuz.