Tazkirah diteruskan di Dataran MPKB


KOTA BHARU, 25 Nov -  Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tetap mengadakan tazkirah ketika solat tarawih, biarpun terdapat larangan mengenainya.
MPKB sejak beberapa tahun lalu menyediakan tempat solat tarawih khas di Dataran MPKB yang menjadi tempat tumpuan orang ramai di tengah pusat bandar.

Yang Dipertuanya, Haji Ramli Abu Bakar berkata, 'tazkirah' tersebut diadakan selaras dengan hasrat Menteri Besar yang meminta agar ia terus dilaksanakan walaupun dilarang pihak tertentu.

Katanya, tidak ada sebab pihaknya mahu menghentikan tazkirah tersebut, kerana program itu cukup penting bagi mendedahkan ilmu agama kepada pendengar di samping meningkatkan pahala di bulan Ramadhan.
Tambahnya, tazkirah yang disampaikan adalah berdasarkan surah yang dibaca imam ketika solat tarawih.
"Lebih 10 ustaz telah dijemput untuk memberi tazkirah di Dataran MPKB.
"Kita bersyukur kerana sambutan orang ramai begitu menggalakkan seperti di tahun-tahun lepas walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu di musim tengkujuh sekarang," ujarnya.

Baru-baru ini, kerajaan Pusat melarang tazkirah diadakan ketika solat tarawih di seluruh masjid di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zainal Abidin Abdul Hamid dilaporkan berkata, tazkirah yang diadakan menyebabkan makmun berada lebih lama di masjid.
Imam yang mengetuai solat tersebut dijemput khas dari Al-Imam Institut.
Beliau juga memberitahu pelancong luar Kelantan seperti Johor, Kedah, Selangor dan lain-lain negeri di  pantai barat juga ramai berkunjung ke sini, sempena Ramadhan sekarang.