Wakil rakyat Kelantan tubuh Tabung Ihsan

KOTA BHARU, 25 Nov  - Keprihatinan kerajaan PAS untuk membantu rakyat yang ditimpa kesusahan di musim tengkujuh sekarang terbukti, apabila setiap wakil rakyat bersetuju menderma sebanyak RM100 elaun mereka untuk dimasukkan ke dalam Tabung Ihsan Bencana.

Elaun itu dipersetujui diperuntukan ke dalam tabung tersebut sebagai modal awal. Ini bermakna modal bagi pusingan awal tabung itu yang akan diwujudkan, berjumlah RM4,300 (43 Adun).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perpaduan Masyarakat dan Industri Desa, Haji Omar Mohamad berkata, cadangan mewujudkan tabung itu dipersetujui pada majlis taklimat mengenai bantuan bencana banjir oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini, 19 November. Katanya, persetujui penubuhan tabung tersebut dibuat majoriti wakil rakyat yang hadir pada program berkenaan.
"Kita sudah menghantar surat kepada semua wakil-wakil rakyat di Kelantan. Bagaimanapun dua wakil Barisan Nasional (BN) tidak hadir pada program tersebut.
"Oleh itu, kita sudah putuskan semua Adun perlu menderma sebanyak RM100 setiap seorang bagi mengisi tabung berkenaan," katanya di sini.

Wakil-wakil rakyat yang hadir juga mencadangkan setiap anggota parlimen mewakili Kelantan termasuk Gua Musang yang diwakili Barisan Nasional perlu menderma sebanyak RM200. Sehubungan itu, Haji Omar berkata, beliau akan mengemukakan cadangan penubuhan tabung tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri mengenai keputusan itu.

Persetujuan untuk mewujudkan tabung tersebut dilahir wakil-wakil rakyat bagi membantu rakyat Kelantan yang ditimpa kesusahan termasuk mangsa banjir. Mereka melahirkan rasa keprihatinan untuk membolehkan rakyat yang ditimpa kesusahan mendapat bantuan segera sekadar termampu.

Haji Omar juga berkata, pihak-pihak lain juga boleh menjayakan tabung berkenaan dengan menyalurkan bantuan.
"Tabung ini tidak semestinya kita mengharap bantuan daripada wakil-wakil rakyat sahaja, pihak-pihak lain juga boleh menghulurkan sumbangan, jelasnya.

.