135 armalah terima bantuan Purnama

KOTA BHARU, 25 Nov -Seramai 135 armalah termasuk tiga daripadanya golongan mahasiswi menerima sumbangan daripada Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama).
Seramai tiga orang armalah yang kurang berkemampuan dari setiap Dun di negeri ini menerima sumbangan itu pada majlis yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10, di sini, baru-baru ini.

Antara mereka yang menyampaikan sumbangan sempena majlis tersebut, wakil Purnama, Ustazah Rubiah Ghazali, Pengarah program, Hajah Wan Anisah Wan Mahmud dan Bendahari Purnama, Hamidah Yaacob.

Pengerusi Purnama, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, menyeru golongan hartawan serta mereka yang berkemampuan membantu golongan armalah khususnya di tempat masing-masing.

Katanya, bantu membantu akan menerbitkan rasa kasih sayang serta tanggungjawab sesama insan, selain rasa bersyukur terhadap rezeki yang Allah anugerahkan.

"Bukan itu sahaja, golongan yang kaya sebenarnya menjadi kaya adalah hasil bantuan orang miskin juga, iaitu membantu atau bekerja dengan mereka," ujarnya. Teks ucapannya dibaca oleh Ustazah Robiah.

Sempena program Motivasi Kecemerlangan Armalah itu juga diadakan tazkirah yang disampaikan oleh Anggota Dewan Negara, Senator Zailah Mohd Yusof
.