MB mahu didik rakyat jadi 'lebai'

KOTA BHARU, 25 Nov  - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu mendidik rakyat Kelantan dari semua lapisan masyarakat menjadi lebai (mengamalkan ilmu agama) dalam kehidupan seharian.
Katanya, semua golongan rakyat bermula daripada penduduk kampung sehingga pegawai tinggi kerajaan perlu dididik menjadi lebai.

Bila semua rakyat Kelantan mengingatkan Allah sentiasa masa, sudah tentu malaikat akan mengelilingi negeri ini lebih banyak berbanding negeri-negeri lain.
Apabila malaikat ramai berada di sini, dengan sendirinya, syaitan tidak lagi dapat menghasut rakyat Kelantan, kata Menteri Besar pada kuliah mingguannya di Dewan Zulkefli Muhamad di sini, Jumaat lalu (23 November).

Ribuan penduduk Kelantan membanjiri sekitar pejabat Perhubungan PAS negeri di Jalan Dato' Pati untuk mengikuti kuliah tersebut. Kehadiran orang ramai mengatasi bilangan sebelum ini, di mana tikar dan khemah khas terpaksa didirikan di atas jalan raya bagi menampung kehadiran begitu ramai orang.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, apabila semua rakyat mengingatkan Allah, sudah tentu tidak ada lagi amalan rasuah, mencuri dan apa sahaja yang dimurkai Tuhan.

Malah, tambah beliau, sekiranya amalan tersebut meluaskan dilakukan rakyat di seluruh negara dan dunia sudah tentu akan mewujudkan suasana aman, keharmonian dan sejahtera sebenar.
Orang Islam apabila bercakap mengenai keamanan, kita diajar tidak membenarkan dilakukan rasuah, mencuri, dan seumpamanya kerana elemen itu boleh membawa kita kepada kacau bilau dan tidak harmoni, katanya.

Beliau juga mencadangkan rakyat kelantan mengadakan amalan bertarawih bukan sahaja di bulan Ramadhan, malah turut dilakukan di bulan-bulan lain. Katanya, Nabi Muhamad saw tidak sembahyang tarawih di bulan Ramadhan sahaja kerana amalan itu dilakukan sepanjang tahun. Cuma orang tidak panggil tarawih, orang panggil qiamulai, tahajud atau witir. Sedangkan amalan seperti itu di bulan Ramadhan orang panggil tarawih.

Makna tarawih adalah berehat selepas membaca surah panjang dalam sembahyang. Misalnya satu malam dibaca satu juzuk dan sepanjang Ramadhan sudah tentu sebuah al Quran dapat dibaca. Bila kita baca panjang sudah tentu rasa letih dan selepas dua rakaat berhenti sekejap.  Dalam masa berhenti, ulamak khuatir takut menjadi amalan berbual pula, maka alim ulamak menganjurkan diadakan bacaan selawat, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya tidak mahu diadakan bacaan selawat dan ia boleh diganti dengan tazkirah.
Orang yang memberi tazkirah menghuraikan apa yang dibaca oleh imam ketika solat tarawih.
Saya berpendapat apabila dibaca tazkirah, makmun lebih faham lagi apa yang dibaca imam ketika solat, katanya.