Putik: Impian Umno tawan Kelantan terus tersasar

PENGKALAN CHEPA, 26 Ogos - Hasrat Umno Kelantan untuk merebut kembali kuasa di negeri ini ternyata semakin tersasar sekarang apabila pendokong perjuangan Islam berjaya menyusun jentera pentadbiran yang semakin mantap.

Perkara itu terbukti apabila PAS berjaya membina sebuah bangunan dewan yang besar lagi canggih.
Bangunan yang bernilai RM6.8 juta, setinggi setingkat setengah dibina hasil sumbangan orang ramai tanpa membabitkan sedikit pun duit kerajaan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, Umno Kelantan sebaliknya terpaksa menanggung malu besar kerana bangunan mereka terbengkalai di Jalan Sultanah Zainab sejak lebih 10 tahun lalu, gagal disiapkan. Katanya, beliau hairan Umno mempunyai duit banyak, sedangkan sebuah bangunan tidak mampu disiapkan.

"Umno boleh punggut sebanyak mungkin duit daripada korporat-korporat, namun masih tidak mampu untuk menyiapkan bangunan tersebut dalam tempoh begitu lama," katanya pada perasmian Dewan Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat malam 23 Ogos lalu.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman, Haji Omar Mohamad, Ustaz Ismail Nuh dan wakil-wakil rakyat.

Bangunan milik Umno Kelantan yang terletak di Jalan Sultanah Zainab kini menjadi tempat ternakan menumpang berteduh.

Ustaz Wan Ismail berkata, biar pun PAS dilabelkan sebagai parti tok lebai, namun mampu membina sebuah bangunan yang begitu besar dan canggih hasil derma orang ramai.

Sementara itu, Dato' Haji Abdul Halim memberitahu pembinaan kompleks Putik membabitkan empat fasa yang akan menjadi tempat latihan untuk mengeluarkan kader-kader perjuangan Islam.
Katanya, fasa pertama melibatkan pembinaan dewan Putik yang bernilai RM6.8 juta berjaya disiapkan dalam tempoh 160 hari bekerja.

Fasa kedua pula akan dibina bangunan pejabat bernilai RM2 juta, fasa ketiga asrama dan masjid (RM2 juta) dan fasa keempat institut pengajian tinggi Islam bagi memberi latihan secara intensif kepada kader-kader Islam.

"Keseluruhan kos yang terpaksa ditanggung dengan pembinaan kompleks tersebut membabitkan kos sebanyak RM12 juta," katanya.

Menurutnya, pembiayaan membina bangunan Dewan Putik didapati sumbernya daripada derma pelbagai pihak yang berjaya dikumpul sekarang berjumlah RM4.4 juta.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, Dewan Putik akan menjadi tempat kegiatan pelbagai guna termasuk pameran, muktamar, mesyuarat, ceramah, seminar, dialog dan konvokesyen.
"Kebetulan pula sekarang kerajaan Barisan Nasional melarang ceramah di tempat-tempat terbuka dan dengan adanya dewan ini, PAS tidak akan menghadapi masalah mengadakan ceramah besar-besaran di tempat tertutup," tambahnya.