Perasmian Dewan PUTIK
Dewan Putik bergema bacaan al Quran 30 juzuk

PENGKALAN CHEPA, 26 Ogos - Dewan Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) iaitu tempat yang akan berlangsung sambutan Jubli Emas PAS peringkat kebangsaan disempurnakan perasmiannya malam 23 Ogos lalu.

Dewan yang dianggap tercanggih dan terbesar di Pantai Timur mulai dinikmati kemudahannya oleh kira-kira 5,000 rakyat Kelantan yang memenuhi dewan tersebut sejak petang Khamis lalu. Acara perasmian bermula dengan bacaan al Quran sebanyak 30 juzuk oleh kira-kira 4,000 pemimpin dan penyokong PAS yang memenuhi dewan tersebut.

Program bermula dengan solat Maghrib yang diimami sendiri Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kemudian diikuti bacaan al Quran beramai-ramai. Orang ramai tetap datang biar pun hujan lebat mencurah-curah sejak awal petang sehingga waktu Maghrib.

Bangunan dewan Putik yang tersengam indah kelihatan dari jauh apabila diterangi dengan lampu, seolah-olah seperti berada di bandar besar. Kehadiran begitu ramai penyokong PAS menyebabkan mereka terpaksa berasak-asak di pintu utama untuk memasuki dewan bagi mengikuti program berkenaan.

Bagaimanapun mereka yang datang lewat terpaksa menyaksikan kehebatan dewan tersebut dari luar dan menunaikan solat di bawah khemah khas yang disediakan.

Selepas solat Isya' yang diimami Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Mohamed Daud diadakan pula solat hajat, bermunajat dan berdoa panjang oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Kemuncak kepada acara perasmian apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik tirai sebagai tanda perasmian bangunan yang tersegam indah tersebut.

Ketika acara perasmian berlangsung petugas bahagian teknikal dewan berkenaan menerima e-mail daripada pelbagai pihak termasuk Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, pelajar Malaysia di United Kingdom dan Erie dan pelajar Malaysia di Amerika Utara, pelajar dari Mesir, dan juga penyokong PAS dari seluruh negara.

Mereka merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan PAS Kelantan membina sebuah dewan yang serba canggih dan terbesar.

Dewan berkenaan dilengkapi sistem audio yang tercanggih dan dilengkapi dengan skrin untuk memancarkan e-mail dan web-web dari internet untuk tontonan orang ramai.

Dewan Putik akan digunakan bagi acara pertama sempena sambutan perayaan 50 tahun PAS peringkat negeri Kelantan dari 2 hingga 6 September, manakala bagi peringkat kebangsaan bermula 7 hingga 9 September.

Sebelum itu, pada malam 29 Ogos orang ramai berpeluang untuk mengikuti ceramah oleh Ustaz Akil Hayy Rawa dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan.