Imam dari Kelantan dibawa ke rumah Ku Li

KOTA BHARU, 26 Nov  - Kira-kira 120 imam di negeri ini dibawa khas Majlis Agama Islam dan Adat Istidat Melayu (Maik) untuk melawat kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya dan rumah Tengku Razaleigh Hamzah, baru-baru ini.

Sebanyak tiga bas disewa khas bagi tujuan itu, dan mereka tinggal di sebuah hotel bertaraf bintang di Kuala Lumpur.
Lawatan itu di atas jemputan khas pihak penganjur kepada imam-imam di Kelantan bagi tujuan melawat sambil belajar.
Selain mengunjungi Putrajaya, mereka dibawa melawat menara berkembar dan berakhir lawatan ke rumah Ku Li pada hari pertama.

Menurut seorang imam mukim di sini, pihak penganjur juga memberi duit poket sebanyak RM50 setiap seorang, sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. Beliau yang enggan mendedahkan namanya berkata, imam-imam dari seluruh Kelantan dijemput khas menyertai lawatan tersebut.

"Sebelum ini saya pernah menerima jemputan bagi tujuan lawatan yang serupa, namun tidak dapat hadir kerana ada masalah lain," katanya di sini.
Bagaimanapun pihak berkenaan menghantar sekali lagi kepadanya surat jemputan bagi membolehkan hadir pada lawatan tersebut.

Malah, katanya, pihak terbabit juga menefon selepas surat tawaran lawatan diterima. Rombongan lawatan tersebut berhimpunan di perkarangan pejabat Maik dan setiap imam dipanggil nama seorang demi seorang untuk diberi kad nama dipakai di baju.

"Apabila hadir di tempat perhimpunan tersebut setiap orang imam diserah wang tunai dan saya menerima sebanyak RM50 sebagai duit poket," katanya.

Bagaimanapun beliau difahamkan, setiap imam dikatakan akan diberi wang poket sebanyak RM150 sebagai duit poket apabila menyertai lawatan tersebut.

Rombongan dari Kelantan itu berada di Kuala Lumpur selama dua hari dan menginap di sebuah hotel bertaraf bintang. Segala bayaran penginapan dan makan minum ditanggung pihak tertentu.

Menurutnya, selain menara berkembar mereka dibawa melawat Putrajaya dan berjumpa dengan seorang pembantu Perdana Menteri.
"Pembantu terbabit mengiringi ke semua tempat lawatan dan menjelaskan mengenai sesuatu perkara yang menarik," tambahnya.

Selepas perjumpaan tersebut mereka menunaikan solat Zohor di masjid Putrajaya yang begitu indah dan besar.
Kemudian sekali lagi rombongan imam dari Kelantan itu dibawa ke kediaman Perdana Menteri untuk menikmati jamuan  makan tengahari.

Imam berkenaan berkata, selepas itu mereka berjumpa dengan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Dato' Dr Abdul Hamid Othman.
"Setiap imam yang hadir diberi hadiah kain pelikat oleh bekas menteri terbabit," ujarnya.

Pada akhir lawatan pada hari berkenaan tiga buah bas yang membawa rombongan dari Kelantan kemudian dibawa berjumpa dengan Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di kediamannya.
Menurutnya, beberapa pemimpin Umno Kelantan turut kelihatan hadir pada pertemuan tersebut termasuk Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali.

Katanya, Ku Li berucap di depan imam-imam yang hadir dengan mengalu-alukan kedatangan mereka.
Pada pertemuan pada sebelah petang tersebut  mereka dijamu dengan makan petang.

Seorang lagi imam berkata, beliau pertama kali dapat menaiki menara berkembar di Kuala Lumpur selepas menyertai rombongan lawatan sambil belajar yang dikendalikan Maik. Katanya, sebelum ini beliau hanya mendengar keindahan dan kecanggihan bangunan tersebut dan tidak pernah menjejak kaki lagi.

Bagaimanapun dengan menyertai rombongan dari Maik, beliau dapat melihat dari dekat ketinggian bangunan tersebut dan dapat menaikinya sehingga ke tingkat 41.

Menurutnya juga, pada sebelah malamnya imam-imam yang menyertai lawatan berkenaan dibawa ke satu majlis perjumpaan dengan Perdana Menteri di sebuah hotel bertaraf antarabangsa.

Beliau juga tidak mengetahui tujuan rombongan berkenaan dibawa ke rumah Ku Li pada lawatan itu, sedangkan pemimpin terbabit tiada kaitan dengan kerajaan dan hanya seorang tokoh veteran Umno Kelantan.

Harakahdaily difahamkan rombongan imam yang dibawa khas melawat Putrajaya sudah diadakan sebelum itu.

Dalam perkembangan lain, misi-misi lawatan seumpama itu sudah menjadi agenda lumrah bagi Umno untuk membawa orang kampung berkunjung ke Kuala Lumpur.

Harakahdaily difahamkan lawatan itu kadang kala disembunyikan di atas nama agensi kerajaan Pusat.
Kebanyakan mereka yang dijemput khas menyertai lawatan tersebut adalah di kalangan penyokong Umno dan penerima bantuan Program Bantuan Rakyat Termiskin (PPRT).

Menjelang pilihan raya umum lalu, penerima-penerima bantuan PPRT termasuk rumah subsidi kerap kali dibawa tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur dan Langkawi. Malah, penerima bantuan PPRT yang sudah berumur dan uzur juga dibawa bersama melawat, disamping mereka juga menerima duit poket.

Pemerhati politik di sini, berpendapat, misi-misi lawatan yang ditaja pihak tertentu termasuk berkaitan agama di Kelantan sudah berbaur dengan elemen-elemen politik.  Kata mereka, apa yang dilakukan badan agama tersebut jelas sudah terarah kepada situasi berkenaan.

"Kalau tidak mengapa imam-imam dibawa berjumpa dengan Ku Li biarpun tidak ada perkataan Umno disebut secara jelas pada program berkenaan," katanya.