Ramadhan: MPKB wujud banyak peluang niaga


KOTA BHARU, 26 Nov  -  Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menyediakan banyak peluang berniaga kepada penduduk tempatan untuk mencari rezeki sempena Ramadhan sekarang.
Antaranya, sebanyak ruang 250 gerai disediakan di Jalan Dato' Perdana dan ratusan lagi di belakang Hotel Ansar serta berhampiran The Store Kota Bharu.
Yang Dipertuanya, Haji Ramli Abu Bakar berkata, MPKB berhasrat memberi peluang sebanyak mungkin kepada penduduk tempatan mencari rezeki di bulan Ramadan sekarang.
"Mudahan dengan rezeki ini mereka dapat berbelanja untuk Hari Raya serta membeli peralatan sekolah anak-anak," katanya di sini.
Bagi tujuan itu, MPKB terpaksa menutup sebelah Jalan Dato' Perdana ditutup bagi menyediakan petak-petak khas bagi membolehkan peniaga mendirikan gerai sementara.
Haji Ramli juga merakam tahniah pada pusat membeli belah, The Store Kota Bharu kerana menyediakan khemah sementara untuk peniaga di sekitarnya.
"Usaha berkenaan memperlihatkan bandar Kota Bharu khususnya tersusun dan indah," tambahnya.
Beliau juga menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan jalan yang ditutup
bagi mewujudkan ruang-ruang perniagaan sementara mengganggu lalu lintas dan menyusahkan orang ramai.
Sebaliknya kata beliau, penutupan ternyata berjaya mengurangkan kesesakan lalulintas, khususnya di pusat bandar.
Menurutnya, penutupan sebelah jalan berkenaan dibuat setelah mendapat persetujuan Jawatankuasa Lalulintas MPKB yang dianggotai wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
"MPKB membuat keputusan ini bukan bersendirian, sebaliknya menerusi keputusan bersama dalam mesyuarat," ujarnya.
Haji Ramli berkata, penutupan jalan itu menjadi kaedah sementara untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas yang begitu ketara menjelang musim perayaan sekarang.