Tuduhan pindah peniaga Cina tidak berasas

KOTA BHARU, 27 Ogos  -  Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menjelaskan pihaknya tidak pernah mengeluar sebarang notis memindahkan peniaga di Pasar Pokok Pinang di tengah pusat bandar yang menempat sebahagian besar peniaga Cina.

Oleh itu, MPKB menyifatkan tuduhan MCA Kelantan kononnya kawasan perniagaan berkenaan akan ditutup adalah tidak berasas. Yang Dipertua MPKB, Haji Ramli Abu Bakar berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang notis untuk memindahkan peniaga berkenaan ke tempat lain sehingga kini.

"Bagaimanapun sebelum ini saya pernah mencadangkan pada suatu mesyuarat, sama ada peniaga di kawasan terbabit bersedia untuk berpindah ke kawasan lain atau kekal di tapak lama yang akan dinaikkan taraf," ujarnya.

Katanya, MPKB memberi pilihan kepada peniaga terbabit dan sekiranya tidak bersetuju pindah, mereka boleh mengekalkan perniagaan di kawasan itu. "Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang notis bagi menamatkan premis perniagaan mereka di situ, ini hanyalah tuduhan palsu yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Sebuah akhbar harian sebelum ini menyiarkan kenyataan Naib Pengerusi MCA Kelantan, Leong Su Siang dengan menuduh MPKB akan memindahkan peniaga Cina di Pasar Pokok Pinang ke kawasan lain.

Sebaliknya, menurut Haji Ramli, sejak cadangan itu dikemukakan sehingga sekarang MPKB belum menerima jawaban daripada peniaga-peniaga terbabit, sama ada bersetuju atau sebaliknya. Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Cina tidak terpengaruh dengan fitnah pihak tertentu khususnya yang berbaur politik.

"Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk MCA akan mencari jalan untuk mengurangkan sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri dengan melemparkan pelbagai tuduhan palsu," ujarnya. Seramai 41 peniaga Cina dan dua Siam berniaga di Pasar Pokok Pinang sejak lebih 20 tahun lalu.