Felda Kemahang 1 bebas gejala sosial

TANAH MERAH: Kegawatan masalah sosial yang melanda banyak rancangan kemajuan tanah Felda di beberapa negeri menggambarkan kepincangan masyarakat dan pihak pengurusannya.

Berita peneroka mencari hiburan di bandar dan penularan pita cakera padat berunsur lucah menjadi tajuk utama kepada media tempatan sebelum ini.

Masalah ini dianggap berada di tahap serius dan sekaligus mencemarkan nama kawasan terbabit yang terpalit ekoran sikap sesetengah peneroka membelakangkan ajaran agama.

Masalah ini harus dipersalahkan kepada siapa. Orang ramai tidak boleh menunding jari secara mudah, kerana segala-galanya berpunca dari perancangan awal yang meminggirkan fikrah agama bagi membangunkan manusia.

Hakikat itu seringkali disebut Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap pentingnya pembangunan seimbang di antara jasmani dan rohani.

Bagaimanapun kegawatan yang melanda banyak rancangan kemajuan tanah itu, nampaknya tidak kedengaran di Kelantan yang sudah diserasikan dengan Islam sejak lebih 11 tahun lalu.

Menteri Besar berkata, beliau bersyukur kerana masalah sosial yang berlaku di banyak tempat tidak kedengaran terjadi di tanah-tanah rancangan di Kelantan.

Perkara itu diakui juga masyarakat peneroka di Felda Kemahang 1, di mana mereka menjelaskan pengisian rohani manusia dengan agama merupakan elemen paling penting bagi melahirkan kesejahteraan hidup.

Imam Masjid Kemahang 1, Mat Hassan Latif berkata, kegiatan agama merupakan pelan utama bagi membangunkan masyarakat setempat.

Katanya, tanpa perancangan aspek tersebut, masyarakat hanya lebih menumpu kepada aspek kehidupan semata-mata dan jiwa mereka pasti gersang.

Menurutnya, keadaan di Kemahang 1 lebih tenteram dan sentosa kerana kehidupan beragama dipraktikkan sejak diwujudkan rancangan kemajuan tanah tersebut pada 1971.

"Sehingga kini kita sentiasa menggerakkan aktiviti keagamaan yang disepati semua peneroka di sini.
"Jawatankuasa masjid dengan dibantu Jawatankuasa Kemajuan Tanah Rancangan bekerjasama mengadakan kegiatan agama sepanjang tahun," katanya.

Felda Kemahang 1 juga mempunyai sebuah sekolah agama, kelas Pasti dan sekolah hafiz yang digerak sendiri peringkat awalnya di kalangan peneroka.

Selain itu, peneroka Felda Kemahang 1 juga memiliki dewan serbaguna, dewan belia, Koperasi Belia, stesen pam minyak dan dua bas sekolah. Antara aktiviti yang sering diadakan termasuk sambutan bulan asyura, Maulidur Rasul, Israq Miraq, nisfu Syaaban, forum perdana, ceramah dan kuliah agama. Mat Hassan berkata, aktiviti keagamaan yang dijalankan sentiasa mendapat kerjasama masyarakat peneroka.

Felda Kemahang 1 terletak di antara jalan raya menghubungkan Tanah Merah ke Jeli dan seterusnya ke Perak.
Kedudukannya yang strategik pernah dicadangkan sebelum ini untuk dibangunkan dengan mewujudkan Bandar Baru Kemahang. Bagaimanapun disebabkan kegawatan ekonomi perancangan itu belum terlaksana sehingga kini.

Adun Kemahang, Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman berkata, kehidupan bermasyarakat di Kemahang 1 begitu terasa sekali apabila semangat kekitaan menular di kalangan mereka. Katanya, kehidupan harian dijuruskan kepada semangat bekerjasama yang padu.

"Kita dapat lihat sendiri mereka berjaya mewujudkan koperasi yang berupaya mengurus sebuah stesen pam minyak dan memiliki dua bas sekolah yang bernilai ratusan ribu.

"Aset yang dimiliki peneroka Kemahang 1 begitu besar dan mereka mampu mengurus dengan baik," katanya.

Selain itu juga, peneroka Kemahang 1 juga memiliki Pusat Mengumpul Kelapa Sawit yang dianggotai di kalangan peneroka seramai 260 orang. Pusat itu turut mendapat tender bagi melaksanakan kerja-kerja menanam semula kelapa sawit dan membeli buah sawit daripada peneroka dengan harga berpatutan.

Pengerusinya, Shafie Ahmad berkata, pihaknya mendapat kontrak bagi menjalankan kerja-kerja menanam semula kelapa sawit di kawasan seluas 1,000 ekar membabitkan nilain RM1.5 juta.

Selain itu, katanya, pusat berkenaan juga memiliki tapak semaian seluas 34 ekar bagi menyemai benih-benih kelapa sawit.

Kejayaan yang dimiliki peneroka Felda Kemahang 1 dan kehidupan beragama yang masih menebal di kalangan mereka menjadikan tanah rancangan itu sebagai contoh terbaik di Kelantan.
Nikmat kejayaannya lebih bermakna lagi apabila seramai 290 peneroka mendapat geran hak milik tanah daripada kerajaan negeri, baru-baru ini.