Miliki geran tanah
USAHA 30 TAHUN BERHASIL


TANAH MERAH: Kira-kira 30 tahun lalu, sekumpulan penduduk dari beberapa jajahan di negeri ini memberanikan diri untuk mendaftar bagi meneroka tanah di kawasan pedalaman Kelantan.

Mereka tertekad mahu mengubah status kehidupan untuk keluar dari kepompong yang terhimpit dengan kemiskinan.
Biarpun terpaksa berpisah dengan keluarga dan kampung halaman, mereka merupakan pemuda yang bersemangat kental sanggup bermandikan peluh untuk memulakan penghidupan baru.

Peluang yang ditawarkan kerajaan PAS ketika itu di bawah kepemimpinan Dato' Asri Haji Muda direbut sepenuhnya dengan mendaftar diri untuk memiliki tanah sendiri yang tidak pernah termimpi sebelum ini. Berbekalkan semangat, dengan sedikit bekalan keperluan harian daripada orang tua, mereka bertolak ke Kemahang bagi menyertai penerokaan tanah secara berkelompok di bawah skim belia.
 
Setiap hari terpaksa menghayung parang dan golok bagi menerangkan hutan cerang yang menjadi tempat segala binatang buas berkumpul. Rumah panjang menjadi tempat untuk berteduh dari hujan dan panas serta melepaskan lelah selepas seharian membanting tulang di tengah belantara.

Kini selepas 30 tahun berlalu, akhirnya impian dan cita-cita mereka untuk memiliki tanah sendiri menjadi kenyataan.
Kerajaan PAS yang kembali berkuasa pada 1990 menerus kesinambungan kerja-kerja dilakukan kerajaan PAS sebelum ini. Tugas utama memberi hak milik tanah kepada peneroka yang sudah berpuluh tahun membanting tulang untuk membina kehidupan baru.

Tanggal 12 November lalu, seramai 290 peneroka menerima geran hak milik tanah kebun, dusun dan lot rumah seluas 14 ekar setiap seorang daripada Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Majlis yang penuh bermakna itu diadakan di dewan orang ramai, Kemahang 1 dekat sini, yang turut dihadiri anggota Exco, Haji Omar Mohamad, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan negeri serta Pusat.

Seorang peneroka, Awang Lah Jusoh, 50 berkata, beliau datang ke Kemahang pada 1971 bagi membuka tanah rancangan bersama rakan-rakan dari Bachok. Katanya, pada masa itu pengurusan tanah rancangan dikendalikan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTNK) di bawah kerajaan PAS.

"Saya memohon daripada wakil rakyat ketika itu untuk meneroka tanah di Kemahang," katanya.
LKTNK yang berjaya mewujudkan rancangan kemajuan tanah pertama di kawasan tersebut akhirnya diambil alih oleh Felda pada tahun 1973 selepas wujud kerajaan campuran di peringkat Pusat.

Awang Lah berkata, selepas itu segala urusan ladang dan hal ehwal peneroka dikendalikan sepenuhnya di bawah Felda.
Katanya, Felda menyediakan pinjaman bagi menanam kelapa sawit dan ia perlu dijelaskan kembali dengan potongan secara bulanan.

Menurutnya, setiap peneroka terpaksa menjelaskan hutang sebanyak RM25,000 kepada Felda sebelum layak untuk memohon mendapat geran hak milik.

Mohd Saufi Hussin, 55 yang berasal dari Cabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat datang bersama kumpulan peneroka seramai 100 orang pada Julai 1971 ke Kemahang. Katanya, pada peringkat awal seluas 300 ekar dibuka kerajaan bagi menanam kelapa sawit yang diusahakan peneroka dengan tenaga empat kerat.

Tanaman kelapa sawit menjadi pilihan bagi peneroka Kemahang 1, selepas mereka mendapat tahu hasilnya cukup lumayan dinikmati rakan-rakan di Jengka, Pahang.

Mohd Saufi yang mempunyai enam anak, pernah menolak pelawaan kerajaan untuk menjadi guru agama di Sabah semata-mata bagi memiliki tanah di Kemahang.

Abdul Aziz Yusof, 53 yang pernah menjadi peniaga batik berkata, beliau memohon menyertai skim penerokaan tanah di Kemahang pada 1971 selepas perniagaannya merosot.
"Selepas saya mendengar kerajaan mahu membuka tanah di Kemahang, saya mendaftar dengan penghulu di kampung saya di Kota Bharu untuk turut serta. Pada masa itu pemilihan dilakukan iaitu tiga orang bagi setiap mukim.

Setiap peneroka yang berjaya pada peringkat awalnya diberi tanah seluas enam ekar bagi mengusahakan kebun kelapa sawit, dua ekar (dusun) dan suku ekar tapak rumah.
Beliau yang mempunyai sembilan anak begitu bersyukur apabila segala pengorbanan dan impian untuk memiliki tanah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

Hakikat yang dirasa peneroka di Kemahang turut diakui penghulu Mukim Nibung, Tanah Merah, Kamarulzaman Deraman dan Penghulu Bukit Bunga, Ismail Mat Yusof.

Mereka berkata, kerajaan negeri di bawah PAS ternyata mampu membela nasib penduduk dan tidak mengutamakan kepentingan tertentu bagi melaksanakan tanggungjawabnya. Katanya, tanggungjawab menyelesaikan hak milik tanah peneroka diberi perhatian serius sehingga akhirnya geran hak milik tanah dapat dikeluarkan.
"Geran tersebut diberi kepada peneroka dan tidak kepada Felda sebagaimana yang dilakukan di tempat-tempat lain," kata mereka.

Imam Masjid Kemahang 1 yang juga seorang peneroka, Mat Hassan Latif berkata, pemberian hak milik secara individu yang dilakukan di Kemahang adalah pertama kali berlaku dalam sejarah kerana di tempat-tempat lain, hak milik diberi secara berangkai.

Beliau yang datang ke Kemahang pada 1972, iaitu kumpulan kedua bersyukur kerana usaha untuk memiliki tanah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

Adun Kemahang, Mejar (B), Mohd Anizam Abdul Rahman berkata, keperihatinan kerajaan negeri menyelesaikan masalah rakyat terbukti apabila geran hak milik tanah diberi terus kepada peneroka dan bukan kepada agensi kerajaan.
Katanya, peneroka diberi hak mutlak ke atas tanah yang mereka usahakan sejak sekian lama.

"Insya Allah Felda Kemahang 1 akan menjadi contoh tanah rancangan yang berjaya dalam semua bidang termasuk berkaitan agama dengan sokongan padu semua pihak," katanya.

Bekas Pengurus Besar LKTNK, Haji Ahmad Othman paling bersyukur kerana kewujudan LKTNK untuk membantu rakyat miskin kini menjadi kenyataan di Kemahang.

Katanya, mereka kini memiliki segala keperluan bagi kehidupan berkeluarga termasuk rumah, kenderaan dan kebun.
"Usaha mewujudkan LKTNK ternyata begitu berjaya sekali dan sepatutnya perancangan yang dilakukan sebelum ini menjadi panduan kerajaan bagi membantu rakyat memulakan penghidupan baru," tambahnya