Ramadhan: Ramai Belia Diberi Peluang Berniaga

KOTA BHARU, 27 Nov Belia-belia dan golongan peniaga yang tidak mempunyai gerai tetap di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kini berpeluang mencari rezeki sempena musim Ramadhan sekarang.
MPKB menyediakan petak khas bagi mereka dengan mengenakan bayaran RM136 sebulan.
 
Yang Dipertuanya, Haji Ramli Abu Bakar berkata, MPKB berhasrat memberi peluang sebanyak mungkin kepada golongan belia mencari rezeki di bulan Ramadan sekarang.  Katanya, kalangan belia yang mencari rezeki tersebut ada di antara mereka sebelum ini tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Dengan adanya peluang perniagaan itu mereka dapat mencari rezeki bagi menampung pendapatan keluarga," katanya di sini.

Sebelum itu, beliau menerima rombongan daripada Persatuan Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Besar Siti Khatijah yang datang menyerahkan surat bantahan kerana MPKB membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil sempena Ramadhan sekarang.

Rombongan tersebut diketuai, Haji Muhamad Ibrahim yang berkumpul bersama kira-kira 200 peniaga di perkarangan pejabat MPKB.   Perhimpunan tersebut turut mendapat liputan daripada media elektronik yang kemungkinan akan menjadikan modal politik baru bagi pihak yang menentang kerajaan negeri.

Sempena Ramadhan sekarang sebanyak 250 gerai sementara disediakan di Jalan Dato' Perdana berhampiran Pasar Besar Siti Khatijah dan ratusan lagi di belakang Hotel Ansar serta berhampiran The Store Kota Bharu.

Haji Ramli berkata, surat bantahan persatuan terbabit yang meminta MPKB membuka pintu yang ditutup ekoran kerja-kerja pembinaan dijalankan sekarang.
"Ekoran itu, MPKB sudah membuka pintu tersebut dan penutupan yang dilakukan sebelum ini disebabkan kerja-kerja mengubahsuai pasar berkenaan yang sedang dijalankan sekarang.

Di bahagian atas Pasar Besar Siti Khatijah terdapat seramai 802 peniaga dan mereka dikenakan sewa sebanyak RM60 sebulan.

"MPKB juga bersedia mempertimbangkan permintaan mereka untuk melewatkan waktu perniagaan di tapak gerai sementara dan keputusannya akan dibuat dalam tempoh sehari dua ini," katanya.

Haji Ramli juga berkata, persatuan peniaga terbabit perlu berfikiran rasional memandangkan peluang mencari rezeki bagi peniaga kecil di tapak sementara hanya dibenarkan pada bulan Ramadhan sahaja.

Katanya, mereka yang berniaga di Pasar Besar Siti Khatijah boleh menjalankan perniagaan sepanjang tahun.
Menurutnya juga bazar Ramadhan yang dikendalikan MPKB sekarang juga terdapat di mana-mana negeri termasuk Kuala Lumpur bagi memberi peluang lebih ramai peniaga mencari rezeki.

Tinjauan wakil Harakahdaily ke tapak perniagaan sementara mendapati sebahagian besar mereka yang  menjalankan perniagaan adalah di kalangan golongan belia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sebelum ini.
Mereka berterima kasih kepada MPKB kerana memberi peluang mereka berniaga sempena Ramadhan sekarang.