Anggota MPUN Perlu Diberi Kuasa Penuh

Kota Bharu, 27 Feb.- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Majlis Perundingan Ulama Negara (MPUN) yang hendak ditubuhkan perlu diberikan kuasa penuh bagi memastikan setiap keputusan dan nasihat yang dibuat, dipatuhi oleh kerajaan.

Katanya tanpa jaminan dan kuasa sedemikian, penubuhan MPUN itu tidak akan mendatangkan sebarang faedah seperti yang pernah berlaku kepada beberapa majlis yang ditubuhkan sebelum ini untuk tujuan memberi nasihat dan pandangan kepada kerajaan.

"Persoalannya sejauh manakah kerajaan terikat dengan majlis ini.

Kalau buat majlis tetapi tidak ada sebarang binding dan komitmen ianya akan sia-sia dan menjadi gimik politik sahaja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, Rabu.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata penubuhan MPUN itu juga bakal bercanggah atau bertindih dengan peranan Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai para mufti yang juga berperanan dalam menasihati kerajaan dan mengeluarkan fatwa.

Menurutnya apabila berlaku percanggahan maka satu daripada majlis itu perlu digugurkan.