Kelantan tak dijemput mesyuarat perumahan negara

KOTA BHARU, 28 Mac - Timbalan Menteri Besar Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata projek pembinaan rumah kos rendah tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan di negeri itu dalam tempoh 10 tahun lepas kerana kerajaan negeri tidak mendapat pinjaman daripada pusat.

“Kerajaan negeri juga tidak pernah dijemput untuk menghadiri mesyuarat termasuk oleh Syarikat Perumahan Negara bagi tujuan pembinaan rumah kos rendah di Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kelantan 2002 bertemakan 'Kota Bharu Comel Sokmo' di Padang Perdana, Sabtu lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan pusat
akan mengambil alih keseluruhan projek pembinaan rumah kos rendah di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 berikutan kegagalan kerajaan negeri melaksanakan program berkenaan.

Ustaz Halim berkata, Kerajaan negeri menyambut baik keputusan kerajaan pusat untuk mengambil alih projek pembinaan rumah kos rendah daripada kerajaan-kerajaan negeri.

Abdul Halim berharap langkah terbaru kerajaan pusat itu akan membolehkan lebih banyak rumah kos rendah dibina di Kelantan.

Kerajaan negeri sebelum ini turut menswastakan pembinaan beberapa projek rumah kos rendah dengan menyediakan tanah untuk tapak perumahan kepada pemaju.