FATWA MENGANIAYAI ANWAR PERLU

TANAH MERAH,  - Majlis Fatwa Kebangsaan yang dipengerusi Tokoh Maal Hijrah 1422, Dato' Dr Ismail Ibrahim perlu mengeluarkan fatwa mengenai penganiayaan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Pemuda KeADILan Pusat, Mustafa Kamil Ayub berkata, majlis fatwa perlu mengeluarkan fatwa yang jelas mengenai perkara itu kerana penganiayaan berlaku terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Katanya, pihak terbabit usah sibuk untuk mengeluarkan fatwa mengenai penggunaan nama Islam sahaja, sedangkan perkara yang jelas berlaku terhadap Anwar tidak mahu dibincangkan.
"Sedangkan mengikut Sheikh Yusof Qarhawi dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah jelas penganiayaan berlaku terhadap Anwar," katanya pada ceramah di Kampung Bendang Nyiur di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, majlis fatwa mencadangkan kepada Majlis Raja-Raja membincangkan mengenai penggunaan nama Islam pada pertubuhan dan parti politik. Bagaimanapun Majlis Raja-Raja mengambil keputusan rasional apabila membenarkan penggunaan nama tersebut selagi ia tidak diselewengkan.

Usaha untuk mengharamkan nama Islam dipelopori Umno sejak sekian lama apabila perwakilan parti itu sering membangkitkan isu tersebut pada setiap perhimpunan agungnya yang diadakan.

Pemerhati politik melihat kecederungan Umno untuk mengharamkan penggunaan nama Islam pada pertubuhan disebabkan pengaruh PAS yang semakin menular sekarang.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, saham Umno jatuh menjunam sekarang di pasaran politik Malaysia apabila Majlis Raja-Raja mempertahankan penggunaan nama Islam pada nama pertubuhan dan parti politik.

"Keghairahan pemimpin Umno hendak melihat perkataan Islam digugurkan menyebabkan imej parti itu sekarang jatuh menjunam," katanya di sini.

Menurutnya, Umno hanya dapat menyelamatkan imej parti itu sekiranya mereka mendengar setiap pandangan rakyat.

Oleh itu, tambahnya, bagi memastikan Umno boleh berada di pasaran yang stabil, mereka perlu mendengar setiap pandangan rakyat dan agama.

"Hanya melalui cara itu sahaja sekarang Umno boleh memulihkan kembali maruahnya yang sudah tercalar," tambahnya.

Sementara itu, Adun Jengka, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, orang yang baik-baik dan tidak meninggal solat amat tidak sesuai untuk terus berada bersama dengan perjuangan Umno. Katanya, parti Umno bukan tempat untuk orang baik-baik, kerana tindak tanduk pemimpin parti itu jelas membelakangi hasrat rakyat. Malah, tambah beliau, hanya Umno yang boleh mengarahkan pelbagai agensi Pusat dengan pelbagai arahan di luar kewarasan termasuk tidak memastikan bangunan milik kerajaan dicat dengan warna hijau. "Arahan itu sudah dikeluarkan kepada jurutera JKR untuk memastikan tidak ada bangunan milik kerajaan Pusat dicatkan warna hijau. "Sekiranya ada bangunan kerajaan dicat dengan warna itu, ia perlu ditukar semula," katanya. Beliau berkata, sikap seperti itu sudah cukup untuk menggambarkan orang yang baik-baik tidak elok benar sekiranya masih berada bersama perjuangan parti tersebut.

Beliau juga mendedahkan Umno di Pahang terlalu takut masjid di setiap mukim di negeri tersebut aktif menjalankan aktiviti keagamaan. Menurutnya, Umno lebih senang sekiranya masjid tidak aktif kerana ia tidak mampu untuk mengembangkan mesej agama kepada rakyat. "Sebab itulah sekarang kerajaan Umno melantik sendiri anggota jawatankuasa masjid, termasuk mereka yang tidak pernah ke masjid dan berseluar pendek," ujarnya.


Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan