Cina Johor Akui Kebaikan Pimpinan Ulamak

TUMPAT, 28 Mac  -
Penduduk Cina dari Kluang, Johor melahirkan rasa berpuas hati terhadap kerajaan negeri di bawah kepemimpinan PAS yang tidak menyisihkan golongan minoriti.

Ketua rombongan itu, Ong Wee Siong berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini memberi maklumat salah mengenai penduduk minoriti dengan menuduh mereka disisih.

"Tetapi setelah kami tiba di sini kami melihat rakyat Kelantan jauh lebih mewah dari rakyat Johor yang sentiasa menanggung derita akibat dari tekanan kerajaan BN dengan segala cukai yang dikenakan terhadap rakyat," katanya.

Menurutnya, beliau dan rombongannya menemui penduduk Cina pada satu majlis yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina dan mereka diberitahu kehidupan Cina berubah selepas kerajaan PAS mentadbir Kelantan.

Pada kunjungan itu juga, rombongan dari Kluang melihat dari dekat kehidupan masyarakat Siam di Terbak, Tumpat.

Wakil penduduk Siam, Eh Chong ketika memberi penerangan di majlis itu mengakui masyarakat Siam terbela sejak 10 tahun kebelakangan ini termasuk memberi jawatan penghulu tanpa mukim.

"Kami masyarakat Siam yang tinggal di sini sejak zaman nenek moyang lagi tahu yang mana baik dan mana yang tidak baik," katanya.

Seorang lagi pemimpin masyarakat Siam berkata, beliau mengalu-alukan kerajaan negeri melaksanakan pentadbiran Islam di Kelantan.

"Betapa untungnya kami di Kelantan berada di bawah pentadbiran seorang pemimpin yang bertaraf ulamak," katanya.

Seramai 50 anggota rombongan itu kelihatan berpuas hati terhadap penerangan yang diberi pemimpin masyarakat Siam.

Seorang anggota rombongan Ong Been Tion berpuas hati terhadap kehidupan masyarakat bukan Islam di Kelantan sekarang biarpun berada di bawah kerajaan PAS.

 



Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan