Kes Anwar Tergolong Kategori Fitnah

KOTA BHARU, 28 Mac  - Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong pandangan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dato' Dr Ismail Ibrahim, yang bimbang kerana gejala fitnah memfitnah tidak lagi dianggap dosa besar oleh masyarakat.

Menurutnya, masalah dosa pahala tidak lagi menjadi persoalan pokok apabila budaya fitnah memfitnah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Katanya, pandangan itu perlu perhalusi terutama di kalangan pemimpin negara kerana ternyata sikap mereka yang menyebabkan masyarakat tidak lagi beranggapan memfitnah boleh menyebabkan dosa besar.

"Memfitnah saudara seagama memang dosa besar, tapi tentu ada sesuatu yang tidak kena apabila ia menjadi kebiasaan dalam masyarakat sehingga masalah dosa pahala tidak lagi dihiraukan.

"Bukti terbesar ialah dalam kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menjadi mangsa fitnah oleh pucuk pimpinan Umno," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar hari ini yang memetik kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang juga Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1422.

Dr Ismail dipetik sebagai berkata, beliau menaruh kebimbangan gejala fitnah tidak lagi dianggap sebagai dosa besar sehingga ia semakin menjadi budaya dalam masyarakat Islam di negara ini.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana generasi muda Islam sejak dari sekolah tadika hingga ke universiti kini telah disemai dengan gejala negatif termasuk sentimen membenci oleh para pendidik anti kerajaan.

Menteri Besar bagaimanapun menolak kenyataan terakhir Dr Ismail yang menyalahkan pendidik kerana kononnya menyemai sentimen kebencian terhadap kerajaan.

"Dalam kes Anwar Ibrahim orang yang membuat fitnah adalah pemimpin Umno, sedangkan pada masa yang sama mereka juga adalah menteri kabinet, pemimpin dalam kerajaan, bahkan pemimpin tertinggi.

"Berapa ramai mereka yang terlibat memfitnah Anwar, inilah puncanya, pemimpin yang memberi contoh tidak baik kepada rakyat," tegasnya




Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan