Kerajaan Kesal Sikap Segelintir Peniaga

KOTA BHARU, 26 Mac (Hrkh) - Kerajaan negeri melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap segelintir peniaga makanan di negeri ini yang menaikkan harga jualan mereka sesuka hati terutamanya kepada pelancong.

Pengerusi Jawatakuasa Penerangan, Wanita, Belia dan Hal Ehwal Pengguna, Ustaz Abdullah Ya'kob berkata, sikap peniaga tersebut ternyata mengutamakan keuntungan peribadi jangka pendek dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, sikap seperti itu akan menjejaskan kedatangan pelancong luar ke Kelantan yang mana sebelum ini dikenali sebagai destinasi makanan murah.

"Sikap seperti ini perlu dibendung segera dan jika dibiarkan ia akan menjejaskan matlamat kerajaan negeri bagi menarik seramai mungkin pelancong  berkunjung ke sini," katanya.
Menurutnya, sikap sedemikian bukan sahaja merugikan kerajaan, malah peniaga terbabit juga terpaksa berdepan masalah pada jangka masa panjang.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan memantau gerai-gerai dan kedai makan yang didapati menjual makanan yang sering menjadi runggutan pengunjung.

Katanya, gerai-gerai tersebut terutamanya di Pasar Siti Khatijah dan Kedai Buluh Kubu, pasar malam di Parit Dalam dan gerai makanan di pasar milik Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sekitar bandar akan sentiasa dipantau.

"Oleh itu, kita berharap mendapat kerjasama orang ramai bagi memaklumkan gerai-gerai menjual makanan dengan mengenakan harga agak luar biasa yang tidak sepadan.
"Kerajaan negeri akan mendapatkan kerjasama dari MPKB, Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, persatuan-persatuan pengguna untuk memantau harga barangan di gerai-gerai yang dikenalpasti," katanya.

Ustaz Abdullah juga berkata, kerajaan negeri akan mengadakan kursus atau seminar mengenai masalah tersebut bagi mendedahkan kepada peniaga-peniaga makanan terhadap tanggungjawab sosial mereka kepada pelanggan.

Menurutnya, peniaga-peniaga makanan akan dipastikan mengikuti kursus atau seminar tersebut bagi membolehkan mereka tahu tatacara sebenar bagi penjual makanan yang berhemah tinggi.
"Malah kemungkinan kita akan cadangkan kepada orang ramai untuk berkunjung ke gerai dan kedai yang menawarkan harga berpatutan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan pengunjung dari luar Kelantan menjadi mangsa peniaga makanan yang mengenakan harga yang dianggap tidak munasabah. Rungutan itu didedahkan sendiri pelancong terbabit kerana tidak berpuas hati terhadap harga makanan di sebuah kedai di bandar ini.

Peniaga-peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga secara tiba-tiba apabila mereka dikunjungi pelanggan yang bercakap bukan dialek daerah Kelantan.

Ustaz Abdullah berkata, sepatutnya perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan pelancong asing masih menjadikan Kelantan sebagai destinasi kunjungan utama mereka disebabkan harga barangan lebih murah berbanding di tempat-tempat lain.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohamad Fauzi, 34 melahirkan rasa terkejut dengan harga makanan yang dibeli di sebuah gerai di Pasar Siti Khatijah lebih mahal berbanding negeri lain. 
Katanya, beliau membeli nasi bersama sup dan sedikit lauk ayam dan sayur dikenakan harga hampir RM10.
"Saya sudah lama tidak berkunjung ke pasar berkenaan kerana tinggal di luar Kelantan, cukup terkejut dengan sikap peniaga terbabit, langsung tidak mencerminkan identiti Kelantan yang terkenal dengan harga barangan murah.


Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan