Contohi Perpaduan Pada Zaman Nabi - MB

KOTA BHARU, 28 Mac  - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru umat Islam supaya mencontohi semangat perpaduan bangsa Arab di awal kebangkitan Islam yang menerima agama itu sebagai asas ke arah penyatuan bangsa.

Beliau berkata, sepatutnya pemimpin umat Islam meneladani sirah Rasulullah s.a.w. yang menyatukan bangsa Arab bukan atas nama bangsa atau kaum tertentu.

Katanya, sejarah membuktikan bahawa perpaduan boleh dilaksanakan apabila semua pihak menerima Islam sebagai asas sebagaimana yang dianjur oleh Rasulullah menyatukan bangsa Arab.

Beliau memberi contoh dua kumpulan utama bangsa Arab ketika itu, Aus dan Khazraj yang bermusuh sejak sekian lama akhirnya dapat disatukan atas nama Islam oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin negara ini yang inginkan perpaduan supaya menyelesaikannya dengan kaedah Islam.

"Satu pencapaian penting daripada hijrah Nabi ialah berlakunya perpaduan bangsa Aus dan Khazraj yang telah bermusuhan sejak ratusan tahun.

"Pemulaannya adalah satu, iaitu menerima Islam sebagai rujukan hidup yang dimisalkan seperti seutas tali yang menghubungkan langit dengan bumi.

"Oleh itu, sebarang perpecahan terutama bangsa-bangsa yang ada di negara kita ini, mesti diselesaikan dengan semuanya kembali kepada kaedah Islam," katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hijratur Rasul Peringkat Negeri di Balai Islam, malam semalam.

Turut berangkat ke majlis itu, Sultan dan Raja Perempuan Kelantan. Anggota-anggota Exco, Mufti, Dato' Hasbullah Mohd Hassan, Ketua Hakim Syarie, Dato' Daud Mohammed, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Hashim Wan Daud dan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Haji Abdul Rahim Hassan, mudir pondok dan wakil-wakil rakyat turut hadir.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menyeru pemimpin masyarakat supaya mencontohi sikap zuhud Rasulullah s.a.w. walaupun setelah Baginda bergelar ketua kerajaan.

Begitu juga katanya, ahli cerdik pandai Islam perlu menjauhi sikap mencari keselesaan hidup dunia hingga sanggup dipergunakan pihak yang lebih berkuasa.

"Di dalam kes tertentu mereka (ahli agama) bukan sahaja menjadi burung kakak tua, malah seringkali bercakap kabur untuk mengiakan kebatilan pihak yang membiayai kehidupan mereka demi mengelak risiko kehilangan nikmat dunia.

"Sedangkan ini semua jauh benar daripada ajaran dan amalan Rasulullah s.a.w., baik sebagai pemimpin negara mahu pun sebagai pemimpin agama," tambah beliau




Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan