Sultan Minta Jauhi Sikap Jumud

KOTA BHARU, 28 Mac (Hrkh) - Sultan Kelantan menyeru umat Islam supaya menjauhi sifat jumud, sebaliknya mereka perlu berfikiran terbuka untuk memperbaiki kesilapan yang dilakukan.

Baginda bertitah, untuk menjadi umat yang kuat, umat Islam perlu melakukan pengorbanan sebagaimana yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa hijrah.

Menurut baginda, umat Islam perlu mencontohi sifat suku kaum Arab yang bermusuhan sejak sekian lama tetapi mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri apabila mengetepikan punca perbalahan mereka.

Tambah baginda, bangsa Arab yang bermusuh itu akhirnya berjaya disatukan apabila mereka sanggup berkorban meleburkan punca perbalahan dan pertikaian.

"Pengorbanan besar telah ditunjukkan oleh suku kaum Aus dan Khazraj, walaupun mereka saling bermusuh antara satu sama lain, tapi mereka sanggup berkorban melupakan punca menyebabkan permusuhan itu.

"Apabila mereka bersatu padu, mereka dikenali dengan nama baru iaitu kaum Ansar dan mereka sanggup melakukan apa saja demi untuk Islam," titah baginda ketika merasmikan Sambutan Hijratur Rasul Peringkat Negeri di Balai Islam, Lundang, di sini, malam semalam.

Sehubungan itu, baginda berharap golongan ulamak memainkan peranan mereka untuk mewujudkan perpaduan dan kesatuan di kalangan umat Islam.

"Sesungguhnya masyarakat sedang memerhati dan menilai peranan yang dimainkan oleh alim ulamak dan para pemimpin," titahnya.

Sempena sambutan itu, seorang pendidik yang juga ahli Jemaah Ulamak, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Muhammad Yusof, 76, dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kelantan 1422.



Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan