Projek perumahan RM36 juta di Kota Bharu

KOTA BHARU, 28 Okt  - Negeri ini tetap menerima tempias pembangunan, biar pun ada pihak cuba menghalang dan memastikan Kelantan terkebelakang berbanding negeri-negeri lain di bawah pentadbiran kerajaan PAS.
Bagaimanapun bagi pelabur yang tidak berkepentingan politik, mereka melihat Kelantan mempunyai prospek ekonomi yang memberangsangkan.

Sebuah syarikat perumahan Chansfield Development Sdn Bhd turut mensasarkan Kota Bharu sebagai tempat untuk dilaburkan peruntukan yang agak besar bagi membangunkan projek perumahan. Syarikat tersebut dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar (PMB) melaburkan sebanyak RM36 juta bagi membangunkan Serambi Kota dekat Wakaf Che Yeh yang dilengkapi perumahan dan prasarana. Majlis perasmian pelancaran projek berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat 25 Oktober lalu.

Projek Serambi Kota akan dilengkapi pangsapuri kos sederhana (15 tingkat), pangsapuri kos rendah (empat tingkat), lot kedai, pejabat, dewan, surau dan kelas tadika. Lokasi yang akan dibangunkan itu membabitkan kawasan seluas 6.51 ekar dan terletak kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, tapak yang dibangunkan dengan projek perumahan tersebut begitu strategik dan memberi faedah besar kepada pembangunan di kawasan pinggir bandar.

"Pembangunan projek ini dapat mengimbangi pembangunan pesat yang berlaku di pusat bandar sekarang," katanya.
Menurutnya, penduduk yang bakal mendiami Serambi Kota akan dapat menikmati suasana aman damai kerana terhindar dari kesibukan bandar.

Pengarah Chanfields Development, Tajuddin Abdul Wahad berkata, projek perumahan tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun iaitu akhir tahun 2003. Katanya, projek tersebut memberi sumbangan bermakna kepada rakyat Kelantan untuk mendiami tempat yang harmonis dan selesa.

Difahamkan unit-unit yang ditawarkan sebahagian besarnya sudah ditempah orang ramai sejak awal tahun lagi.
Sebelum ini, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan penduduk yang terbabit dengan kebakaran besar di Pangkalan Pasir berhampiran Masjid Muhammadi awal tahun ini, diberi keutamaan memiliki unit-unit rumah di Serambi Kota.
Kawasan itu dianggap strategik kerana kedudukan berhampiran Pasar Borong Kota Bharu, Pasar Tani, Klinik Wakaf Che Yeh, Sekolah Kebangsaan Kota dan stesen Radio Televisyen Malaysia Kelantan.